MALAYSIAKINI
P Uthayakumar memegang hujung berus gigi usang di jari telunjuk beliau
dan menunjukkan bagaimana beliau memberus gigi di penjara.
Berus gigi itu sudah bertukar warna kepada perang, kotor dengan berusnya hampir tiada.
"Ia dikongsi oleh hampir lima banduan dalam satu penjara - biasanya lebih dari itu.
“Bila saya minta kepada warden, mereka kata tiada bajet untuk membeli
berus gigi," kata Uthayakumar, yang mahu memberitahu segalanya mengenai
pengalaman ketika menjadi banduan di Penjara Kajang.
Uthayakumar pernah mengalami pengalaman menjadi tahanan Akta Keselamatan
Dalam Negeri sebelum ini bersedia untuk pengalaman hampir sama ketika
dijatuhkan hukuman di bawah Akta Hasutan.
Pengalaman tersebut menyedarkan beliau yang perkara sama tidak wajar dilalui oleh seteru politiknya sekalipun.
Sewaktu di penjara, Uthaya menulis beberapa surat dan diseludup melalui
isteri dan peguamnya - untuk mengadu tentang keadaan penjara.
Beliau antaranya mendakwa warden penjara membenarkan tahanan muda yang dilantik sebagai 'jurulatih' untuk membuli tahanan lain.
Tahanan muda tersebut kemudiannya akan membalas 'keistimewaan' itu dengan mengurut warden-warden penjara secara percuma.
Pemimpin Hindraf ini dijatuhi hukuman penjara selama 30 bulan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 5 Jun 2013.
Beliau didapati bersalah menuduh Putrajaya melakukan pembersihan etnik terhadap warganegara berketurunan India.
Pada 17 September tahun lalu, Mahkamah Rayuan mengekalkan keputusan
hakim namun mengurangkan hukuman dari 30 bulan kepada 24 bulan.
Menurut Uthayakumar, beliau menghabiskan banyak masa di dalam penjara semata-mata untuk kekal waras.
Semangat aktivisme yang dibawanya bersama ke dalam penjara membantu beliau berbuat demikian.
Bezanya kata Uthayakumar, di dalam penjara, perjuangannya adalah untuk semua orang dan bukan orang India semata-mata.
"Dalam penjara, semua orang dilayan sama rata - sama rata buruknya.
"Dalam penjara ini memang ada semangat 1Malaysia. Ada kesamarataan untuk
semua - dalam menerima layanan yang teruk," kata aktivis itu sewaktu
diwawancara oleh Malaysiakini.
Perkara yang paling ditakuti oleh tahanan dalam penjara, kata Uthaya
bukanlah herdik dan maki hamun oleh warden penjara atau kekasaran
fizikal.
Mereka paling risau seandainya mereka jatuh sakit.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan