Jumaat, 24 Oktober 2014

Umat Islam sambut tahun baru 1436 Hijrah esok

MALAYSIAKINI


Umat Islam akan menyambut tahun baru 1436 Hijrah esok dan masyarakat Islam di negara ini sekali lagi memperbaharui azam dan tekad untuk memajukan diri selaras dengan tuntutan syariat.
  
'Perpaduan Nadi Transformasi Negara' yang menjadi tema sambutan Maal Hijrah pada kali ini dilihat bertepatan dengan keadaan masa kini apabila umat Islam berhadapan pelbagai cabaran termasuk perbezaan pemahaman soal agama sehingga menimbulkan percanggahan pendapat dalam banyak perkara.
  
Khuatir akan hal itu, Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Ilmuan Malaysia (Ilmu) Ahmad Fazrin Yahaya mengingatkan masyarakat Islam supaya kembali kepada al-Quran dan sunah sebelum perbezaan pendapat menjadi barah dalam penyatuan ummah.
  
Beliau berkata pada masa ini percanggahan pendapat dalam masalah agama timbul kerana umat Islam bergantung kepada logik akal tanpa menjadikan al-Quran dan sunah sebagai asas merungkai permasalahan.
  
Konteks ini, katanya bertepatan dengan sabda Rasulullah SAW yang bermaksud "Aku tinggalkan kepadamu dua perkara, kamu tidak sesat selama mana kamu berpegang teguh dengan keduanya, iaitu al-Quran dan sunah".

Justeru Ahmad Fazrin berkata pihak bertanggungjawab perlu proaktif menyemarakkan program keagamaan termasuk mengadakan perbincangan menyeluruh mengenai kekeliruan pendapat berkenaan hukum bagi melahirkan masyarakat Islam celik agama.
  
"Jangan menunggu sehingga sesuatu hal berlaku baru nak mengeluarkan kenyataan, sebaliknya umat Islam perlu terus dididik untuk menitikberatkan kepentingan mempelajari ilmu agama agar sentiasa berada pada landasan syariat yang sebenarnya," katanya kepada Bernama.
  
Ahmad Fazrin berkata pengurusan khilaf (perbezaan pendapat) perlu dilakukan bagi memastikan setiap isu berkaitan agama dapat diselesaikan dengan lebih berkesan.
  
"Dalam hal ini, pihak berkuasa agama perlu mengangkat isu menguruskan khilaf ini, sekaligus mengambil contoh bagaimana para ulama dahulu menguruskan pertembungan dan perbezaan pendapat sesama mereka," katanya.
  
Pandangan sama dikongsi Presiden Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) Mohammad Fazril Mohd Saleh yang menyatakan bahawa umat Islam di negara ini perlu menerapkan konsep kesepakatan ummah dalam menangani isu-isu semasa.

Menurutnya, umat Islam harus bertindak lebih bijak apabila berhadapan dengan pelbagai permasalahan kompleks melibatkan sensitiviti agama, dan dalam masa sama menyelesaikannya tanpa perlu bertelagah.

Mengambil contoh isu penggunaan kalimah Allah, status halal coklat keluaran Cadbury Malaysia dan penganjuran program 'I Want To Touch A Dog', Mohammad Fazril berkata umat Islam tidak seharusnya cepat melatah mahupun bertelagah sesama sendiri bila wujud perbezaan pemahaman.
  
"Sebaliknya, kita perlu menyelesaikan masalah ini dengan cara yang betul mengikut syariat Islam supaya penganut agama lain tidak mempunyai persepsi negatif terhadap agama Islam," katanya.
  
Dalam pada itu, Mohammad Fazril mengajak golongan belia Islam untuk mempersiapkan diri dengan ilmu pengetahuan agama yang kukuh bagi memastikan mereka tidak mudah terpengaruh dengan perubahan dunia globalisasi yang kian mencabar.
  
Beliau berkata golongan belia yang bakal mewarisi kepimpinan negara juga harus menjadi ikon terbaik dalam membentuk jati diri belia Islam yang sejati pada masa akan datang.
  
Untuk itu, Mohammad Fazril berharap akan lahir lebih ramai ulama atau ilmuan Islam dalam kalangan belia yang berkredibel bagi membimbing golongan muda berfikir tanpa melampaui batasan agama Islam.- Bernama
 

Tiada ulasan: