Oleh Wan Anis Ilyani Wan Mohammad Azhar
KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Sepang, Hanifa Maidin mengambil pendirian
berbeza dengan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang terhadap
penyertaan beberapa pemimpin Pakatan Rakyat di pesta arak Oktoberfest,
baru-baru ini.
Beliau berpendapat kehadiran pemimpin itu ke program berkenaan merupakan hak mereka dan bukan berniat untuk mencabar PAS.
"Selagi pemimpin itu bukan beragama Islam, dan dari parti mana pun, apa
masalahnya mereka hadir? Kecualilah mereka yang datang itu pemimpin
yang beragama Islam.
"Saya tidak nampak ia seolah-olah mencabar PAS. Itu hak mereka. Kita di
dalam Pakatan Rakyat menghormati mana-mana hak kebebasan agama
mana-mana pemimpin," katanya ketika dihubungi Antarapos.
Isu Oktoberfest mengundang kontroversi apabila penganjurannya didakwa melanggar sensitiviti penganut agama Islam.
Pesta berkenaan tetap berlangsung meskipun mendapat bantahan banyak pihak.
Oktoberfest mula berlangsung sejak 24 September lalu di Hotel Subang dan beberapa tempat di Selangor dan Kuala Lumpur.
Sebelum ini, Dewan Ulama PAS juga bertindak membantah keras pesta Oktoberfest di negeri Selangor.
Sebaliknya, sekutu PAS, DAP menyokong pesta Oktoberfest dan terdapat di
kalangan pemimpin mereka yang menghadirinya sebagai tanda sokongan.
Pesta itu dihadiri beberapa pemimpin PR termasuk exco kerajaan negeri
Elizabeth Wong; Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang; Setiausaha Publisiti
DAP Tony Pua; Ahli Parlimen Puchong Gobind Singh Deo; Ahli Majlis
Pimpinan Pusat PKR Sivarasa Rasiah; ADUN Bukit Gasing Rajiv Rishyakaran
dan ADUN Damansara Utama, Yeo Bee Yin.
Bagaimanapun Hadi menegaskan setiap agama melarang penganutnya
berfoya-foya serta terlibat dengan aktiviti yang boleh memudaratkan.
Justeru tegasnya, pihak berkuasa perlu menapis penganjuran program-program seumpama itu pada masa akan datang.
Tambah Hadi, walaupun penganut bukan Islam dibenarkan meminum arak,
mereka masih perlu mempertimbangkan sensitiviti penganut agama Islam dan
agama lain dalam perkara ini.
Bagaimanapun, Hanifa yang juga Ahli Jawatankuasa PAS Pusat enggan mengulas kenyataan Hadi itu apabila diminta berbuat demikian.
"Itu perlu tanya beliau, saya bukan Hadi.
"Saya tak mahu komen, sebab saya tidak dengar apa beliau cakap. Saya tidak mahu komen perkara yang saya tidak tahu," ujarnya.
1 ulasan:
Pastikan akal masih dalam otak sebelum berbicara.
Kalau ada Pesta Merokok 1 Malaysia, kau nak turut serta promosi ke?
Moral sebagai seorang pemimpin, kalau bapak kencing berdiri, anak (rakyat) kencing berlari.
Catat Ulasan