Oleh Shuhaniza Said
SHAH ALAM: Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali akan membawa isu
kontroversi 'Oktoberfest' ke dalam mesyuarat exco petang ini untuk
dibincangkan, sebelum membuat sebarang ketetapan.
"Kita sah dapat maklum dari MBSA dan MBPJ. Ia akan dibincang dalam
mesyuarat exco. Pengumuman selanjutnya akan dibuat nanti," katanya
ringkas kepada pemberita selepas menghadiri Program Ibadah Korban
Peringkat Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), di sini sebentar tadi.
Isu Oktoberfest mengundang kontroversi apabila penganjurannya didakwa
mengandungi ciri-ciri yang melanggar sensitiviti penganut agama Islam.
Semalam, PAS Selangor juga mempersoalkan permit penganjuran program itu
memandangkan kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan dikhabarkan
tidak pernah memberikan kelulusan mengenai festival tersebut.
Malah, Ketua Penerangan PAS Selangor, Zaidy Abdul Talib juga mendesak
MBSA agar mengambil tindakan tegas terhadap pihak-pihak yang
menguar-uarkan penganjuran festival itu melalui iklan.
"Jika ia diadakan secara besar besaran seperti festival, apatah lagi
dengan menguar-uarkan secara terbuka seperti iklan di pasar raya dan
billboard dan sebagainya, ianya jelas melanggar tata susila kehidupan
masyarakat bahkan seluruh agama di dunia ini.
"Kerajaan Selangor dan PBT juga tidak pernah meluluskan apa-apa
kelulusan berkaitan dengan program ini. Ia boleh digambarkan sebagai
mencetus dan mencabar keharmonian yang sentiasa diterap dalam kerajaan
Pakatan Rakyat Selangor.
"PAS Selangor akan berusaha untuk mendesak melalui peruntukan kuasa
yang ada pada Kerajaan Negeri Selangor dan PBT yang terbabit supaya
festival di kawasan terbuka seperti 'parking kereta' dan sebagainya yang
jelas bercanggah dengan 'Akta 176' dapat dialihkan atau dibatalkan dan
melarang penglibatan umat Islam serta mereka yang dibawah umur," kata
Zaidy dalam kenyataannya semalam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan