Hazwan (kiri) bersama rakannya, Hafiz Yahya berbincang mengenai writ saman yang akan difailkan di Mahkamah Tinggi Seremban.
SEREMBAN - Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Negeri Sembilan, Mohd Nazree Mohd Yunus memfailkan saman sebanyak RM2 juta ke atas bekas Ketua Cabang PKR Rembau, Badrul Hisham Shaharin kerana memfitnahnya di laman sosial pada 22 Mac lalu.
Writ saman berkenaan difailkan menerusi peguam, Hazwan Mohd Nor di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi Seremban, dekat sini, kira-kira jam 12 tengah hari, semalam.
Menurut Hazwan, anak guamnya selaku plaintif memfailkan saman itu berikutan kenyataan yang dikeluarkan defendan, Badrul Hisham melalui laman sosial seperti Twitter dan Facebook ditujukan kepadanya dengan niat untuk mencemar nama baik.
“Beberapa kenyataan yang dikeluarkan Badrul Hisham menjejaskan nama baik anak guam saya yang ketika itu sedang berkempen sebagai calon Ketua AMK pusat,” katanya kepada pemberita di perkarangan Mahkamah Tinggi Seremban, di sini, semalam.
Hazwan berkata, notis tuntutan permohonan maaf bertarikh 24 April telah dihantar kepada Badrul Hisham yang dikenali sebagai Chegu Bard.
“Kita sudah memberi masa panjang untuk defendan memohon maaf secara terbuka dan menarik balik kenyataannya.
“Namun, defendan enggan berbuat demikian menyebabkan tindakan saman diambil,” katanya.
Katanya, plaintif memfailkan saman bagi menuntut ganti rugi sebanyak RM2 juta itu sebagai tindakan terakhir selepas defendan gagal memberi kerjasama.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan