Roketkini.com
KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak ‘berisiko’
menjadi bahan jenaka antarabangsa sebagai sebagai Perdana Menteri
‘talam dua muka’ apabila sibuk melaungkan seruan kesederhanaan di
peringkat antarabangsa, namun tunduk kepada golongan ekstremis ketika di
dalam negara.
Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang berkata, Najib sekali lagi
menunjukkan sifat ‘skizofrenia’ dengan pemahaman tentang prinsip
kesederhanaan yang cukup berbeza di peringkat antarabangsa dan
kebangsaan.
“Pada 27 September lalu, Najib memberikan ucapan yang amat
baik dalam Perhimpunan Agung Bangsa-bangsa Bersatu, apabila menyeru
golongan sederhana untuk mengambil kembali agama mereka (daripada puak
ekstremis) dan mengambil jalan keamanan.
“Namun di ‘rumah’nya sendiri, Najib mengelak daripada
membendung sikap ekstrim dan tidak bertolak-ansur, sehingga berlaku
provokasi antara kaum dan agama pada tahap terburuk sepanjang lima tahun
pentadbirannya,” katanya dalam satu kenyataan.
“Jelas, Najib mengalami ‘skizofrenia’ (fikiran celaru,
berubah-ubah dan tidak stabil) dalam memahami konsep kesederhanaan,
apabila pemahamannya di luar negara begitu berbeza dengan di sini,”
katanya, secara sinis merujuk laporan Bernama hari ini, bahawa seorang
daripada 100 warga Malaysia mengidap penyakit itu.
Sehingga kini, kerajaan masih gagal mengambil sebarang
tindakan kepada Presiden Perkasa Datuk Ibrahim Ali yang mengancam untuk
membakar kitab Bible bahasa Melayu tahun lalu.
Pada masa sama, puluhan ahli politik Pakatan, aktivis, ahli
akademik dan wartawan disiasat di bawah Akta Hasutan, kononnya kerana
mengancam keharmonian negara.
Kata Ahli Parlimen Gelang Patah itu lagi, beliau yakin
Najib akan dapat memberi jawapan yang hebat jika diminta mengulas
tindakan biadap Ibrahim itu di luar negara.
“Namun di tanahair sendiri, kerajaan di bawah pimpinannya
terus beralasan hanya untuk membela tindakan tersebut, antaranya
menyifatkannya selaras dengan Perlembagaan Malaysia,” katanya.
Sebab itu jugalah, katanya lagi, seruan Najib dalam
Perhimpunan Agung Gerakan semalam untuk ‘menolak ekstremisme kaum dan
agama’ langsung tiada kredibiliti dan tidak lebih sekadar omong kosong
semata-mata. – Roketkini.com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan