Roketkini.com
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Najib
Razak digesa berhenti memanipulasi angka ekuiti Bumiputera untuk
mewajarkan dasar kerajaan yang mengutamakan kroni Umno melalui anugerah
saham dan peruntukan belanjawan.
Ketua Pembangunan Ekonomi DAP Perak Chong Zhemin berkata,
pengumuman Najib dalam ucapan belanjawan Jumaat lalu bahawa pemilikan
ekuiti korporat Bumiputera adalah sekitar 10 peratus bercanggah daripada
kenyataannya sebelum ini.
Menurut Chong, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk
Seri Abdul Wahid Omar pada 12 Jun 2014 lalu menyebut pemilikan ekuiti
bumiputera adalah sebanyak 24 peratus.
“Bagaimana angka ini boleh berubah dengan begitu mendadak
dalam masa kurang daripada 4 bulan? Beliau mesti menjelaskan bagaimana
jumlah 10 peratus pemilikan ekuiti bumiputera ini muncul.
“Saya menggesa Najib untuk berhenti menggunakan angka
ekuiti Bumiputera sebagai usaha berterusan untuk memberikan lebih banyak
saham kepada kroni Umno,” katanya dalam satu kenyataan.
Justeru, dalam ucapan belanjawannya Najib mengumumkan
peruntukan RM600 juta bagi meningkatkan pemilikan ekuiti bumiputera
dalam syarikat swasta dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC).
Langkah itu katanya dilakukan kerajaan melalui Ekuinas yang
akan melaksanakan pelaburan kumulatif bernilai RM2.3 bilion dalam
pelbagai sektor.
Menurut Chong lagi, rakyat kini menderita akibat kenaikan
kos sara hidup dan pemberian lebih banyak saham kepada kroni Umno yang
sudah kaya tidak akan membantu golongan miskin.
Beliau yang juga Setiausaha Politik Ahli Parlimen Taiping
menggesa Najib tidak berselindung di sebalik angka ekuiti Bumiputera,
sebaliknya mendedahkan kaedah sebenar pengiraan.
“Kerajaan sebelum ini telah menggunakan nilai tara (par)
dan bukannya nilai pasaran untuk mengira angka ekuiti Bumiputera.
(Kaedah) ini adalah salah.
“Dalam bidang perakaunan dan kewangan, nilai tara merujuk
kepada nilai yang dinyatakan dalam memorandum perusahaan, di mana
syarikat dilarang untuk menjual saham-saham di bawah nilai tawaran awal.
“Nilai tara sama sekali tidak mempunyai hubungan dengan nilai pasaran saham,” ujarnya.
Chong turut menjadikan syarikat Apple Inc sebagai contoh
bagaimana kesilapan kaedah digunakan Putrajaya menggunakan nilai tara
untuk menaksir angka ekuiti Bumiputera.
“Apple Inc mempunyai sejumlah 5.988 bilion saham, dan harga
pasaran bagi setiap saham ialah USD100.73, menjadikannya syarikat
terbesar di dunia dari sudut modal saham, berjumlah USD603.17 bilion.
“Bagaimanapun, Apple Inc hanya mempunyai satu nilai tara USD0.00001 setiap saham.
“Jika Apple Inc akan dimiliki sepenuhnya oleh bumiputera,
berdasarkan kaedah Putrajaya menggunakan nilai tara, ekuiti dimiliki
bumiputera hanya USD 59,880 (RM 191,616), sedangkan jualan di kedai
telefon bimbit iPhone mungkin bernilai lebih daripada itu,” kata Chong.
Chong menyatakan, kerajaan pada masa lalu menolak ekuiti
kerajaan dan ekuiti asing apabila membuat pengumuman mengenai angka
ekuiti Bumiputera.
Tindakan tersebut, katanya, mendorong kepada peningkatan
sasaran ekuiti Bumiputera yang tidak munasabah, iaitu kepada 70 peratus.
“Melainkan kerajaan mengurangkan pegangan ekuiti dan
menghadkan pemilikan ekuiti asing, sasaran ekuiti Bumiputera 70 peratus
adalah tidak realistik dan tidak tercapai,” ujarnya. – Roketkini.com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan