MALAYSIAKINI
MP PKR dari Ampang, Zuraida Kamaruddin mendakwa program prapendidikan
kanak-kanak Permata Untuk Negara (PERMATA) memberi keuntungan kepada
anak orang kaya dan bukannya golongan sasaran berpendapatan rendah.
Zuraida membangkitkan perkara itu dengan menimbulkan isu anak orang kaya
yang sedia terlatih dalam bidang muzik untuk menyertai satu program
orkestra PERMATA Seni.
"Kalau
kita lihat PERMATA Seni, program orkestra mereka ini diambil dari
anak-anak orang kaya yang memang terlatih dalam seni muzik dan
digabungkan buat satu pasukan," kata Zuraida.
Menurutnya, program itu sepatutnya menumpukan kepada kanak-kanak dari ibu bapa berpendapatan rendah.
"Kalau PERMATA ini bersungguh-sungguh nak bantu rakyat di bawah - macam
Sabah yang kata Sabah pun tiada (program PERMATA) - ia sepatutnya
menggilap (bakat) anak-anak miskin dari bawah dan jadikan mereka permata
dan bukan ambil anak-anak orang kaya.
"Lenggong (Shamsul) sedar atau tidak program PERMATA ini program 'jalan
pintas'?,” katanya sewaktu mencelah perbahasan Belanjawan 2015 oleh
Datuk Shamsul Anuar Nasarah (BN-Lenggong) di Dewan Rakyat.
Kenyataan itu seterusnya dibidas oleh Datuk Seri Azalina Othman
(BN-Pengerang) yang mendakwa Zuraida mendiskriminasikan kanak-kanak.
Diskriminasi miskin, kaya
"Lenggong (Shamsul), saya nak tanya bolehkah kita diskriminasikan anak orang kaya dan anak orang miskin?
"Apalah Ampang ini punya fikiran. Kanak-kanak adalah kanak-kanak.
"Kenapa nak diskriminasikan yang miskin dan yang kaya?" kata Azalina.
MP Pakatan Rakyat pada hari Isnin lalu menggesa Suruhanjaya Pencegahan
Rasuah Malaysia menyiasat jumlah peruntukan yang diterima PERMATA.
Dalam Belanjawan 2015 yang dibentang Jumaat lalu, kerajaan
mempertuntukkan RM711 juta kepada PERMATA, Kementerian Pendidikan,
Tabika KEMAS dan Tabika Perpaduan bagi mengukuhkan pendidikan awal
kanak-kanak.
Pecahan belanjawan itu menyatakan anggaran RM42,831,500 pada 2014 dan RM30,690,100 pada 2015 untuk PERMATA.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan