Datuk Seri Liow Tiong Lai Datuk Seri Liow Tiong Lai
 
 
KUALA LUMPUR - MCA membantah pihak yang mencabar atau mempersoal kedudukan pendidikan Cina dalam negara ini, khususnya desakan agar sekolah jenis kebangsaan Cina dimansuhkan.
 
Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata institusi pendidikan Cina telah melahirkan ramai golongan profesional berkemahiran tinggi dan berkualiti yang menyumbang kepada pembangunan negara.
 
"Desakan untuk memansuhkan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) tidak akan membantu BN meraih sokongan rakyat.
 
"Kerajaan harus mengambil tindakan sewajarnya untuk menjamin kesinambungan kepelbagaian bahasa yang terdapat dalam negara kita", katanya dalam ucapan dasar presiden pada Perhimpunan Agung Tahunan MCA ke-61 di Wisma MCA di sini, hari ini.
 
Perhimpunan itu dirasmikan Perdana Menteri yang juga Pengerusi BN) Datuk Seri Najib Tun Razak.
 
Beliau berkata, MCA juga akan sentiasa berdiri teguh untuk mempertahan dan memperjuangkan peluang pendidikan yang adil untuk semua rakyat.
 
"MCA sentiasa memainkan peranan utama dalam mempertahankan kesinambungan pendidikan berkualiti dari peringkat sekolah rendah, menengah hinggalah ke peringkat institusi pengajian tinggi," katanya.
 
Dalam ucapannya, Liow turut merakamkan ucapan terima kasih kepada perdana menteri kerana memperuntukkan dana sebanyak RM50 juta kepada SJKC dan RM25 juta bagi Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Cina (SMJKC) dalam Bajet 2015.
 
Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata lebih 200,000 anak muda dari pelbagai kaum mendapat manfaat pengajian tinggi dari kedua-dua institusi naungan MCA iaitu Kolej Universiti Tunku Abdul Rahman dan Universiti Tunku Abdul Rahman.
 
Melihat kepada pencapaian tersebut, Liow berharap kerajaan dapat meluluskan pembinaan sebuah hospital pakar di Kampar, Perak yang akan dikendali UTAR.
 
Jelasnya, hospital itu selain membantu rakyat turut bertindak sebagai platform untuk memajukan sektor penyelidikan dan pembelajaran dalam bidang perubatan barat serta perubatan tradisional dan komplementari. - Bernama