Mohamad Sabu Mohamad Sabu
 
 
KUALA LUMPUR - Pas akan menyokong perjuangan Gerakan Hapuskan Akta Hasutan (GHAH) bersama PR dan barisan badan bukan kerajaan (NGO) yang lain.

Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu berkata, pihaknya akan memberikan komitmen penuh dalam membantu gerakan tersebut sehingga Akta Hasutan 1948 yang digubal kerajaan dimansuhkan sepenuhnya.

"Kami akan mengerahkan segala jentera akar umbi di seluruh negara bagi melawan akta ini sehingga ia dihapuskan," tegasnya dalam satu sidang media yang diadakan di sini, hari ini.

PKR sebelum ini mengumumkan pelancaran kempen Mansuh Akta Hasutan (MAH) ke setiap negeri mulai September lalu.

[ARTIKEL BERKAITAN:  PKR gerakkan kempen mansuh Akta Hasutan]

Ketika ditanya media tentang perancangan untuk mengadakan demo bantahan, Mohamad bagaimanapun enggan mengulas.

Dalam pada itu, pihaknya turut mendesak Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail mendedahkan dan menamakan nama ketua bahagian Umno yang didakwa hadir dalam sebuah pertemuan tertutup 14 Ogos lalu.

Mohamad mendakwa, pertemuan tersebut didakwa turut dihadiri Peguam Negara dan Ketua Polis Negara.

"Adakah Peguam Negara bertindak menurut arahan dari pemimpin-pemimpin Umno? Siapa dan bahagian Umno mana yang terlibat dalam pertemuan kontroversi tersebut?"

"Kenapa (Peguam Negara) baru sekarang ambil tindakan terhadap laporan polis yang sudah lama dibuat ahli Umno?" soalnya.

Dengan itu, pihaknya memberi amaran keras kepada Peguam Negara dalam menasihati kerajaan untuk memansuhkan segera akta terbabit.

Beliau juga turut mendesak Peguam Negara untuk menarik semua kesemua dakwaan di bawah akta tersebut.

Turut hadir dalam sidang tersebut, aktivis pelajar, Adam Adli; Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok; Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad; penganalisis politik, Hishamuddin Rais; Ahli Parlimen Batu, Tian Chua dan Pengarah Eksekutif Suara Rakyat (Suaram), Yap Swee Seng.