HULU SELANGOR: Lokasi tanah runtuh dekat Apartment Teratai di Taman
Bunga Raya, Bukit Beruntung diisytiharkan stabil dan pihak berkuasa
telah memberikan lampu hijau kepada penduduk untuk kembali ke kediaman
mereka mulai pukul 3 petang Ahad.
Pegawai Majlis Daerah Hulu Selangor, Ahmad Suaidi Abdul Rahim berkata,
tiada pergerakan tanah baharu yang direkodkan sejak cerucuk telah
dipasangkan pada Sabtu.
"Kita telah membuat kesimpulan bahawa kawasan itu selamat dan
mangsa-mangsa boleh mula berpindah keluar dari tempat perlindungan pada
kira-kira pukul 3 petang hari ini (Ahad)," katanya dipetik The Star.
Jabatan Kerja Raya (JKR) pada Khamis lalu mula melakukan kerja-kerja
pemasangan cerucuk di kawasan tanah runtuh di Apartment Teratai bagi
menghentikan pergerakan tanah.
Jabatan itu berkata, ia turut menubuhkan satu pasukan khas bagi
mengkaji penyelesaian jangka panjang untuk mengelakkan kejadian tanah
runtuh berulang.
Pasukan khas itu melibatkan pegawai-pegawai dari JKR, Jabatan Mineral
dan Geosains, Majlis Daerah Hulu Selangor, Jabatan Pengairan dan
Saliran, serta Tenaga Nasional Bhd.
Kejadian tanah runtuh pada Isnin lalu mengakibatkan pemindahan 1,163 orang dari 289 keluarga.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan