Ahad, 26 Oktober 2014

K'jaan digesa tegas perkasa agenda nasional

MALAYSIAKINI


 


Kerajaan diminta mengambil tindakan lebih tegas dalam memastikan pemerkasaan agenda nasional dapat digerakkan bagi menjamin perpaduan rakyat berbilang bangsa di negara ini dapat dieratkan.
  
Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali berkata pihaknya mendapati kerajaan ketika ini lebih bersifat defensif sehingga menolak ke tepi dasar agenda nasional sebaliknya meletakkan agenda politik di hadapan.
  
Katanya Perkasa juga berharap kerajaan dapat memastikan matlamat agenda nasional dapat dicapai dalam menjamin kestabilan dan keamanan negara.
  
"Apa yang berlaku sekarang ini adalah rakyat berpecah dan matlamat agenda nasional untuk melihat penyatuan rakyat berbilang kaum masih jauh.
  
"Mengapa setelah 50 tahun  kita merdeka masih ada lagi rakyat tidak boleh berbahasa Kebangsaan. Apa punca semua ini terjadi dan kerajaan perlu mencari penyelesaiannya," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Perkasa Peringkat Parlimen Bayan Baru, di Georgetown malam tadi.

Ibrahim berkata kewujudan sekolah berbagai aliran, siaran televisyen dan radio dalam bahasa tertentu perlu dikaji semula dan ditambah baik supaya selari dengan agenda nasional yang digariskan.
  
Katanya Perkasa juga bimbang dengan kewujudan sistem pelbagai bahasa di negara ini yang dikhuatiri mampu  memberikan kesan buruk kepada negara khususnya kebersamaan dan kesatuan rakyat.
  
"Kita bukan rasis apabila menyentuh isu sekolah pelbagai aliran dan siaran radio dengan pelbagai bahasa tetapi disebabkan perkara ini telah melahirkan rakyat yang langsung tidak boleh berbahasa kebangsaan.
  
"Sudah sampai masanya kerajaan bertegas dengan menekankan semula penggunaan bahasa kebangsaan di negara ini supaya tiada lagi rakyat tidak mampu menggunakan bahasa negara sendiri," katanya.
  
Sementara itu, Ibrahim menyelar tindakan pihak tertentu yang sering melabelkan Perkasa dan perjuangan mempertahankan hak Bumiputera di negara ini sebagai rasis.
  
"Perjuangan Perkasa jelas adalah mempertahankan hak orang Melayu dan Bumiputera seperti yang terkandung dalam Perlembagaan dan tidak timbul isu rasis di sini.
  
"Mengapa kita pertahan hak kita dilabel rasis sedangkan kaum lain yang bangkit pertahan hak mereka tidak (dilabel rasis). Perkara ini tidak betul dan sekiranya tidak diambil serius oleh kerajaan, kita risau ia akan memberi kesan kepada kestabilan dalam negara khususnya melibatkan hubungan antara kaum," katanya.-Bernama

Tiada ulasan: