Ahad, 12 Oktober 2014

'Kenapa saya dipecat dari parti?'


Ah Nee (tengah) ketika sidang media berhubung pemecatan beliau dari parti, semalam. Ah Nee (tengah) ketika sidang media berhubung pemecatan beliau dari parti, semalam.
 
 
SEREMBAN – Bekas Pengerusi Gerakan Bahagian Seremban, Thong Ah Nee mempersoalkan tindakan parti yang memecat keahliannya tanpa memberi alasan kukuh menerusi surat pemecatan diterima awal Ogos lalu.

Beliau yang memegang jawatan akhir itu sejak 2009 berkata, tindakan drastik yang diambil terhadapnya mengundang pelbagai persepsi kerana tiada bukti kukuh dinyatakan melalui laporan diputuskan jawatankuasa disiplin parti.

“Saya memerlukan keadilan di sini. Saya tidak tahu apa kesalahan saya sehinggakan parti terus mengambil tindakan untuk memecat keahlian saya.

“Kandungan surat pemecatan keahlian juga tidak difahami dan alasan untuk memecat saya tidak dapat diterima,” katanya.

Menurutnya, krisis bermula apabila ada pihak mendakwanya terlibat dalam kempen menyokong calon pembangkang pada pilihan raya umum tahun lalu, termasuk aktiviti yang dianjurkan pertubuhan badan bukan kerajaan.

“Saya sudah membalas surat mengenai dakwaan kepada parti pada 15 September tahun lalu, malangnya tiada jawapan langsung diterima daripada pihak berkenaan.

“Setelah hampir lima bulan, saya menerima surat bertarikh 24 Februari 2014 daripada jawatankuasa disiplin parti yang mahu menyiasat dakwaan itu, bagaimanapun saya gagal menghadirkan diri atas kesibukan kerja," katanya pada sidang media di Royale Bintang Resort & Spa, di sini, semalam.

Ah Nee berkata, menerusi surat daripada Setiausaha Agung, Liang Teng Meng yang bertarikh 4 Ogos lalu terus menyatakan pemecatannya sebagai ahli atas sebab tidak menghadiri mesyuarat disiplin.

Malah, katanya, menerusi laporan jawatankuasa disiplin terus menyatakan mempunyai bukti bahawa dia mencemarkan parti dalam pilihan raya umum lalu.

“Apabila menerima surat berkenaan, saya sangat terkejut dan kini saya ingin mengetahui dengan lebih jelas apakah bukti yang mereka ada sehingga menyebabkan saya dipecat dari Gerakan.

“Jika hanya disebabkan tidak hadir dan bersabit dengan dakwaan itu semata-mata, ia tidak benar sama sekali dan saya mengharapkan satu keadilan buat diri saya memandangkan saya sudah menjadi ahli parti lebih 20 tahun,” katanya.

Jawatan terakhir yang turut dipegang Ah Nee dalam Gerakan adalah Pengerusi Cawangan Templer sejak tahun 1994 dan Ahli Majlis Perbandaran Seremban (MPS) pada 2009

Tiada ulasan: