Jumaat, 3 Oktober 2014

[KEMASKINI] Azmin potong gaji MB, exco, speaker, dan timbalan pada Bajet 2015

Oleh Shawaliah Hadir
Post Pic
 
 
 
GOMBAK: Menteri Besar Selangor Azmin Ali memutuskan untuk memotong gaji menteri besar, ahli majlis mesyuarat kerajaan negeri (exco), speaker dan timbalan speaker dalam Bajet Selangor 2015 pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) bulan depan.
 
Beliau merasakan kenaikan itu sebagai tidak munasabah ketika rakyat sedang berdepan dengan kos hidup yang semakin meningkat. 
 
"Saya ambil pendirian awal gaji menteri besar, exco, speaker dan timbalan speaker akan dipotong kepada tahap munasabah kerana kenaikan kadar 2013 terlalu tinggi dan saya tak boleh berdepan dengan rakyat kerana masalah kos kehidupan tinggi pada masa ini," katanya kepada wartawan selepas sesi turun padang di Bangunan Sultan Sulaiman di sini hari ini.
 
Sebaliknya, beliau berkata, peruntukan belanjawan untuk 2015 bakal memberi tumpuan kepada perbelanjaan pembangunan.
 
"Bajet (2015) merupakan suatu yang penting‎ yang perlu diberikan tumpuan.
 
"Sebelum ini saya pernah minta belanja mengurus itu tidak terlalu besar dan tidak boleh berkompromi dengan belanja pembangunan.
 
"Tukar bajet 2015 di mana belanja pembangunan ditingkatkan ke satu kadar yang agak munasabah dan belanja mengurus dikurangkan kepada kos yang akan ditetapkan.
 
"Ini mesti dalam bentuk pembangunan tidak dalam bentuk keraian elaun atau gaji.
 
Bagaimanapun, bagi perbelanjaan selain itu masih dalam proses perbincangan untuk dipertimbangkan pendekatan yang sesuai diguna kelak.
 
"Permulaan untuk menunjukkan kekayaan Selangor mesti digunakan untuk pembangunan.
 
"Soal pendidikan, perumahan, kebajikan itu masih dalam perbincangan," jelasnya.
 
Untuk rekod, pada 27 November lalu, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang pada masa itu menerajui Selangor membentangkan usul kenaikan gaji beliau dan pemimpin lain berlipat ganda dengan alasan ia selaras dengan beban kerja yang dipikul.
 
Di bawah usul yang diluluskan itu, menteri besar akan menikmati gaji baru RM29,250, iaitu dua kali ganda berbanding imbuhannya sekarang.
 
Exco kerajaan negeri pula akan menerima RM20,250 sebulan.
 
Imbuhan untuk 56 ADUN di Selangor pula ditetapkan pada RM11,250 berbanding RM6,000 sebelum ini.
 
Di bawah skim baru itu, Speaker DUN akan menerima gaji bulanan RM22,500 berbanding RM6,109.29 manakala gaji Timbalan Speaker pula diselaraskan kepada RM15,750 iaitu pertambahan 373.3 peratus.  
 
Kenaikan gaji itu mendapat kritikan daripada pemimpin Pakatan Rakyat (Pakatan) yang menganggapnya tidak munasabah.

Tiada ulasan: