Jumaat, 3 Oktober 2014

Harga minyak: Kerajaan patut bersyukur kepada rakyat

Lyn Nasir


KUALA LUMPUR : Kerajaan sepatutnya bersyukur  kepada rakyat di negara ini kerana mereka sehingga kini  masih tidak dapat menumbangkan Umno BN, kata Adun Simpang Pulai, Chan Ming Kai.

Chan Ming KaiBeliau membidas kenyataan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Hasan Malek baru-baru ini yang menyatakan rakyat perlu bersyukur dengan kenaikan harga minyak dan petrol.

“Sepatutnya kerajaan yang perlu bersyukur sebab rakyat tak tumbangkan mereka lagi, bukan suruh rakyat bersyukur sebab harga minyak naik,”

“Hasan selalu buat kenyataan yang langsung tak masuk akal,” katanya ketika dihubungi.

Menurutnya lagi, rakyat di luar negara pasti mengambil tindakan untuk menumbangkan sesebuah kerajaan jika situasi yang sama berlaku di sana.

“Jika berlaku di negara luar, pasti sama ada rakyatnya akan tumbangkan kerajaan melalui pilihan raya atau di jalan raya,” ujarnya.

Pada 2 Oktober lalu, Hasan berkata rakyat sepatutnya bersyukur dengan tindakan kerajaan dan bukan mengadakan bantahan ke atas kenaikan harga bahan api.

Hasan dalam kenyataannya juga meminta rakyat agar mengubah sikap supaya ‘menghormati pemimpin’ dan bersyukur dengan kejayaan negara.

Menurut Chan Ming Kai,  pemimpin Umno seperti Hasan tidak memahami realiti dihadapi golongan miskin kerana beliau sendiri  dikategori sebagai golongan kaya.

“Kita bukan kaya macam mereka, semua harga barang naik, minyak dah mula naik. Selepas ni bila barang dikenakan GST, rakyat sudah tidak mampu menampung segala kenaikan dengan pendapatan yang diperoleh sekarang ni.

“Inilah jadinya bila kerajaan sendiri boros, rakyat yang terpaksa tampung ‘sakit’ nya,” ujarnya lagi.
Harga petrol RON95 dan diesel mengalami kenaikan sebanyak 20 sen seliter dengan menjadikan harga runcit baharu bagi RON95 ialah RM2.30 manakala diesel, RM2.20.

Ini berikutan pengumuman daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) berkenaan subsidi petrol RON95 dan diesel yang dikurangkan sebanyak 20 sen seliter.

Tiada ulasan: