Sabtu, 25 Oktober 2014

Fahmi Zainol: Saya tidak gentar ugutan pihak UM

 
Saya tahu apa yang saya buat dan kami di peringkat PMUM akan terus jalankan program kami.

"40 Tahun- Dari Universiti Malaya Ke Penjara


PETALING JAYA: Presiden Persatuan Mahasiswa Universiti Malaya (PMUM), Fahmi Zainol menyatakan bahawa beliau tidak pernah gentar dan takut dengan ugutan yang diberikan oleh pihak Universiti Malaya (UM) terhadapnya.

Sebelum ini, Fahmi dilaporkan bakal menerima tindakan disiplin termasuk digantung pengajiannya selepas diberi surat tunjuk sebab oleh Bahagian Hal Ehwal Pelajar (HEP) kerana menganjurkan program “40 Tahun: Dari Universiti Malaya ke Penjara”.

Naib Canselor HEP, Prof Datuk Rohana Yusof berkata, pihaknya melarang penganjuran program terbabit kerana ia melanggar peraturan universiti.

“Bagi saya, saya tidak pernah takut dengan ugutan oleh pihak Universiti, Saya tahu apa yang saya buat dan kami di peringkat PMUM akan terus jalankan program kami,” katanya kepada FMT ketika dihubungi.

Dalam pada masa yang sama, Fahmi turut menyatakan bahawa pihaknya tidak mencabar pengurusan pihak UM, tetapi hanya memperjuangkan ketidakadilan yang berlaku dalam sistem.

“Dalam pada itu, mereka yang mendapat manfaat daripada sistem yang tidak adil ini mungkin akan merasa tersinggung,” katanya lagi.

Jelasnya, PMUM hanya berusaha untuk memulihkan falsafah UM. Ia termasuk kebebasan akademik, autonomi universiti dan urus tadbir pelajar.

“Universiti adalah milik awam dan kebebasan bersuara. Datuk Seri Anwar Ibrahim haruslah dilindungi,” jelas beliau.

Tambah Fahmi lagi, siswa-siswi haruslah dilayan seperti orang dewasa. Mereka haruslah diberikan kebebasan untuk menganjurkan program tanpa dikawal oleh pihak universiti selagi mana program tersebut tidak bertentangan dengan undang-undang negara.

“PMUM akan terus memastikan supaya Datuk Seri Anwar Ibrahim memasuki UM dan membiarkan siswa-siswi dan pihak pengurusan mendapat satu pengajaran mengenai kebebasan bersuara.

Sementara itu, PMUM menyeru seluruh mahasiswa dan anak muda hadir untuk mendengar pidato Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim bertajuk “40 Tahun: Dari Universiti Malaya Ke Penjara” di Dataran Dewan Tunku Canselor di kampus Universiti Malaya (UM), pada hari Isnin, jam 9 malam.

Tiada ulasan: