Roketkini.com
KUALA LUMPUR: DAP mengutuk keengganan kerajaan mendedahkan kos penerbangan khusus yang membawa isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansur ke Padang, Indonesia baru-baru ini.
Ahli Parlimen Seremban Anthony Loke Siew Fook berkata, identiti penumpang dan kos perlu didedahkan kerana ia melibatkan urusan rasmi kerajaan dan digunakan atas urusan Perdana Menteri.
“Apakah kelayakan isteri Perdana Menteri menggunakan pesawat khas kerajaan? Perkara ini telah berkali-kali dibangkitkan namun ia tetap berterusan.
“Saya amat terkilan dengan keengganan Shahidan untuk memberikan jawapan kos secara terperinci. Sama ada dia tidak faham soalan atau sengaja merahsiakan butiran tersebut untuk mengelak persepsi negatif terhadap kerajaan?
“Apakah kerajaan telah memulakan langkah ke belakang dengan merahsiakan segala maklumat yang boleh menimbulkan persepsi negatif terhadap BN?” soalnya dalam sidang media di Lobi Parlimen, hari ini.
Pada Mac lalu, Anthony yang juga Setiausaha Organisasi DAP telah mengajukan soalan di Dewan Rakyat berkenaan kos penerbangan Rosmah ke Qatar menggunakan pesawat kerajaan yang melibatkan kos RM426,489.46
Hari ini, beliau juga telah menggesa kerajaan agar mendedahkan tujuan pesawat NR1 dengan nombor pendaftaran 9M-NAA pada 27 Ogos lalu yang membawa Rosmah ke Padang, Indonesia untuk menerima satu anugerah dari komuniti Minangkabau.
Namun, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim sekadar menjawab ia adalah urusan rasmi tanpa menyatakan jumlah keseluruhan kos.
Menurut Anthony, pesawat yang membawa Rosmah itu telah dikesan melalui laman web pengesan pesawat FlightRadar24 berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke Padang dan ke Singapura sebelum kembali ke KLIA pada 27 Ogos.
Tegas Anthony, tidak ada alasan untuk mana-mana tidak menjawab sebarang soalan daripada Ahli Parlimen, terutama jika ia melibatkan dana awam.
“Setiap sen yang dibelanjakan untuk kemudahan rasmi yang digunakan Najib dan isterinya serta anggota-anggota pentadbiran adalah dana awam dan boleh dipersoalkan.
“Sekiranya Parlimen pun tidak dapat memberikan jawapan, bagaimanakah ketelusan perbelanjaan kerajaan dapat dijamin?
“Pendekatan ‘kerahsiaan’ kerajaan ini tidak boleh dibenarkan sama sekali. Tanpa ketelusan dalam perbelanjaan kerajaan, pembaziran sumber dan pemborosan dana awam akan semakin berleluasa dan lebih parah,” ujarnya.
Tambahnya, semalam kerajaan juga merahsiakan identiti lima anggota pentadbiran yang membida nombor plat ‘BMW’ dan jumlah bayaran dibuat atas alasan untuk melindungi mereka daripada persepsi negatif.
Timbalan Menteri Kewangan Datuk Ahmad Maslan turut enggan mendedahkan jumlah cukai yang dibayar oleh 20 hartawan yang dibangkitkan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim. -Roketkini.com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan