Roketkini.com
KUCHING: DAP mempersoalkan tindakan Lembaga
Amanah Kebajikan Masjid Sarawak (LAKMNS) dan Baitulmal Sarawak (TBS)
yang enggan menyatakan laporan tahunan kewangan mereka.
Pembantu Khas Pengerusi DAP Sarawak Abdul Aziz Isa berkata,
laporan tersebut perlu dikemukakan kerana melibatkan kepentingan awam,
khususnya umat Islam di negeri ini.
“Wang dikutip TBS setiap tahun adalah daripada pembayar
zakat. Adalah hak rakyat untuk tahu ke mana wang itu pergi dan bagaimana
ia dibelanjakan.
“TBS seharusnya memiliki salinan penyata kewangan yang
sedia untuk dibuat semakan awam pada bila-bila masa,” katanya dalam satu
kenyataan.
Beliau turut mempertikaikan LAKMNS yang bertanggungjawab
menjaga kebajikan di Sarawak, namun mengambil sikap lepas tangan dan
tidak menyalurkan dana secukupnya menyebabkan sebahagian umat Islam di
negeri ini hidup dalam kesempitan.
Lebih menyedihkan, kedua-dua badan terbabit dilaporkan
menggunakan wang zakat untuk membina projek mega atas nama agama,
sekaligus memberikan keuntungan kepada syarikat-syarikat dan kontraktor
tertentu.
“Kenapa ini berlaku? Bagaimana LAKMNS boleh memberikan dana
yang sangat kecil kepada sebuah masjid, tetapi mampu untuk membina
Bangunan Baitulmakmur 2 (MASJA 2)?” soalnya.
“Jika LAKMNS termasuk TBS boleh membina projek mega seperti
Kompleks Islam Kuching (KIC), Kompleks Islam Sibu (SIC) dan Kompleks
Miri Islam (MIC), mengapa masih ramai orang Muslim yang hidup dalam
kemiskinan?
“Undang-undang Islam manakah yang membolehkan wang zakat digunakan untuk membina bangunan sebagai lambang kemegahan?” soalnya.
Sehubungan itu, beliau menggesa kedua-dua lembaga berkenaan agar mendedahkan laporan kewangan secepat mungkin.
“DAP akan membawa perkara ini dalam sidang DUN November ini
dan kami berharap Menteri dan Timbalan Menteri Hal Ehwal Islam
menjawabnya,” kata Aziz. – Roketkini.com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan