Isnin, 20 Oktober 2014

Bajet 2014 belum guna untuk lapangan terbang Miri?

JOFRI JARAIEE PAS SARAWAK


BAJET 2014 yang lalu seperti menaik taraf lapangan terbang di Kota Kinabalu, Sandakan, Miri, Sibu dan Mukah dengan peruntukan RM312 juta masih belum digunakan sepenuhnya terutama di Miri.

Lapangan terbang Miri masih belum ada banyak perubahan yang sepatutnya dinaik taraf sebagai lapangan terbang antarabangsa dengan diberi kemudahan yang setaraf dengan standard lapangan antarabangsa.

Antara masalah yang perlu diberi perhatian oleh pihak pentadbiran lapangan terbang Miri ialah memudahkan penumpang tempatan untuk masuk tanpa perlu melalui pemeriksaan imigresen.

Sepatutnya pihak lapangan terbang Miri memberi kemudahan dan lorong khas untuk penumpang tempatan yang balik dari Kuala Lumpur atau dari luar Sarawak untuk memudahkan pemeriksaan MyKad tanpa perlu beratur panjang bersama penumpang yang bukan penduduk tempatan.

Dengan adanya lorong khas untuk penumpang tempatan akan memudahkan proses pemeriksaan tanpa perlu beratur terlalu panjang sehingga menyusahkan penumpang yang membawa keluarga yang ramai terutama yang mempunyai anak-anak kecil dan juga warga tua.

Pihak pentadbiran lapangan terbang Miri dan juga pihak Imigresen sepatutnya menaikkan taraf sistem pemeriksaan penumpang dengan menggunakan sistem yang lebih canggih lagi memandangkan peruntukan untuk lapangan terbang Miri masih belum digunakan sepenuhnya.

Standard keselamatan dan kecekapan yang perlu dipatuhi oleh pemilik lapangan terbang dan/atau pengendali diletakkan sebagai Piawaian dan Amalan Disyorkan [SARPS] Lampiran 14 kepada Konvensyen tentang Penerbangan Awam Antarabangsa dan Arahan Aerodrome diterbitkan oleh Jabatan Penerbangan Awam.

Peranan utama Bahagian Piawaian Lapangan Terbang adalah untuk mengatur aktiviti lapangan terbang dalam memastikan keselamatan dan kecekapan operasi untuk keselamatan awam di kawasan aerodrom.

Di antara nasihat dari operasi lapangan terbang @ Aerodrome adalah untuk memberikan panduan dan nasihat tentang perkara-perkara operasi lapangan terbang selaras dengan piawaian antarabangsa dan amalan yang disyorkan, dan keperluan keselamatan yang lain.

Kita menggesa agar pihak kerajaan segera menaikkan taraf lapangan terbang Miri menjadi lapangan terbang antarabangsa selaras dengan piawaian antarabangsa seperti yang disyorkan oleh Jabatan Penerbangan Awam (JPA).

Peruntukan Bajet 2014 yang lalu sepatutnya digunakan sepenuhnya untuk menaik taraf  lapangan terbang Miri agar bandaraya Miri menjadi antara sebuah pusat pelancongan bertaraf antarabangsa di utara Sarawak.

Kita berharap perkara ini mendapat perhatian yang sewajar dari pihak kerajaan kerana lapangan terbang Miri masih lagi kekurangan dari segi kemudahan asas yang setaraf dengan standard lapangan terbang antarabangsa.

Kerjasama dengan pihak yang berkenaan untuk menaikkan taraf lapangan terbang Miri amat dihargai. - HARAKAHDAILY

Tiada ulasan: