PETALING JAYA: Tinggal lagi dua minggu untuk Mahkamah Persekutuan
mendengar rayuan kes liwat yang dihadapi Ketua Umum PKR, Datuk Seri
Anwar Ibrahim.
Pada 28 Oktober ini, nasib Anwar yang juga Ketua Pembangkang akan diketahui - dibebaskan atau dipenjarakan sekali lagi.
Untuk itu, Angkatan Muda Keadilan (AMK) hari ini melancarkan kempen selama 14 hari bagi menunjukkan solidariti terhadap Anwar.
Ketuanya Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, kemuncak kempen yang bertemakan
'Rakyat Hakim Negara' itu akan diadakan di Putrajaya pada 28 Oktober
depan.
Antara program kempen itu ialah flashmob, edaran risalah, ceramah di seluruh negara dan juga kempen melalui media sosial.
"Siri ceramah ini juga akan dijalankan bersama Anwar Ibrahim di beberapa lokasi di seluruh negara yang akan dimaklumkan kelak.
"Kemuncak kempen Rakyat Hakim Negara adalah ceramah perdana yang bakal
berlangsung di Istana Kehakiman Putrajaya pada 28 Oktober," katanya pada
sidang medianya di ibu pejabat PKR di Petaling Jaya, sebentar tadi.
Nik Nazmi yang juga Exco Selangor berkata, pihaknya bersedia dengan segala kemungkinanan.
"Kita bersedia dengan segala kemungkinan. Ia bukan sahaja kes ini
semata-mata tetapi kes ini juga sebagai satu pencetus kepada isu-isu
yang kini dihadapi rakyat," katanya lagi.
Mahkamah Persekutuan menetapkan 28 dan 29 Oktober depan untuk mendengar
rayuan Anwar bagi mengenepikan sabitan dan hukuman bagi tuduhan meliwat
bekas pembantu khasnya, Saiful Bukhari Azlan, enam tahun lalu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan