Rabu, 15 Oktober 2014

Ke mana Pak Man akan pergi?

ARIF ATAN 






KUALA LUMPUR: Dasar pembangunan hartanah oleh kerajaan Umno BN yang memusuhi rakyat berpendapatan rendah menyaksikan mereka terus dinafikan hak untuk tinggal di ibu negara.

Pengalaman Harakah sejak tahun lalu berdepan isu pengusiran peneroka bandar oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) termasuk perkampungan di bawah status tanah rizab Melayu di sekitar Sentul mendapati jabatan kerajaan terbabit tidak adil apabila mengabaikan kebajikan rakyat.

Beberapa agensi kerajaan yang didakwa memiliki tanah didiami penduduk dilihat bekerja mengikut telunjuk kapitalis apabila menghalau mereka tanpa pampasan dan ganti rugi setimpal sebelum tanah terbabit diserahkan sepenuhnya kepada pemaju.

Tindakan paling mudah dilakukan kerajaan apabila penduduk yang sebahagiannya merupakan warga emas diarah berpindah dengan menyewa di unit Projek Perumahan Rakyat (PPR) jauh dari lokasi perkampungan asal mereka diami.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kampung Puah Seberang, Ahmad Daud Mohd Ali, 52, berkata, penduduk di kawasan  tanah rizab Melayu itu kini diancam pengusiran apabila Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) berkeras mahu meneruskan projek membina kolam takungan banjir di tanah seluas 3.28 ekar bagi projek Sungai Nadi Kehidupan atau ?River of Life? (RoL).

Pada masa sama, ujarnya, baki 77 keluarga di kampung itu juga menghadapi tekanan supaya berpindah ke PPR bagi memberi laluan kepada projek Lebuh raya Duta-Ulu Klang (Duke) II dengan siri pertama projek itu menyebabkan ramai penduduk dihalau kira-kira 10 tahun lalu.

Kampung Puah Seberang terletak antara Duke dan Sungai Gombak merangkumi keluasan 17.13 ekar yang hanya melibatkan satu lot sahaja iaitu Lot 30022.

Menurut Pak Daud, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) sebagai pemilik tanah di kawasan projek terlibat sehingga 2 Oktober lalu gagal memberi sebarang respons terhadap gesaan penduduk untuk bertemu dan berunding.

Ujarnya, orang kampung selama ini hanya difahamkan tanah mereka duduki direzabkan sebagai tanah perkuburan Islam tetapi kemudiannya terkejut apabila pihak berkuasa agama itu memberi kebenaran kepada JPS untuk mengambil tanah kampung terbabit bagi projek RoL.

Surat JAWI kepada JPS bertarikh 2 Oktober 2012 bukti menyatakan JAWI tiada halangan dan bersetuju terhadap permohonan pembatalan sebahagian Tanah Rizab Perkuburan Islam No Lot 30022 Mukim Setapak kampung tersebut.

"Kita nak jumpa dengan Ketua Pegawai Eksekutif MAIWP (Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan) untuk selesaikan segera kemelut ini tetapi dia tak jawab pun surat penduduk walaupun tidak kurang daripada enam surat kita hantar sejak dua tahun lepas.

"Orang kampung mahu bersemuka dengan MAIWP duduk sekali semeja dengan PTG (Pejabat Tanah dan Galian), JPS dan DBKL," ujarnya ketika ditemui Harakah, 2 Oktober lalu.

Pihak JPS melalui konsultan Pearl Oriental Solutions, katanya, sedaya upaya memujuk empat daripada sembilan keluarga supaya bersetuju dengan bayaran RM2,000 bagi menganjakkan tapak rumah termasuk surau ke bahagian dalam kampung.

Namun, jika penduduk enggan menerima tawaran itu mereka didesak berpindah ke PPR Taman Wahyu.

"Untuk apa kami kena pindah masuk ke dalam? Cukupkah RM2,000? Rumah apa boleh dibina sekarang ini dengan wang sebanyak itu? Adakah itu satu-satunya penyelesaian atau permulaan kepada ancaman pengusiran?

"Penduduk akan berdepan risiko kalau ikut telunjuk konsultan itu sebab DBKL pasti tidak akan luluskan. Bekalan elektrik dan air juga susah. Bila banjir pula siapa akan bertanggungjawab," bidasnya.

Menurut Pak Daud, Datuk Bandar Kuala Lumpur, Dato' Seri Ahmad Phesal Talib dalam dialog dengan penduduk 4 Jun lalu pula gagal memberikan hasil laporan  syarikat konsultan yang dilantik oleh DBKL pada tahun 2010 ketika Tan Sri Ahmad Fuad Ismail sebagai Datuk Bandar kepada mereka.

"Kami sudah diajak berunding bersama mengemukakan kertas cadangan bagi mewujudkan kampung tradisi warisan Melayu yang kekal dalam bandar tapi sampai sekarang penduduk di tujuh kampung tidak dapat laporan sebenar daripada perunding IZM Consult itu," ujarnya.

Kecewa dengan layan agensi kerajaan terbabit, Pak Daud menganggap cara pentadbiran tanah di negara ini seperti pendekatan rejim Zionis dengan merampas tanah atau paksa pindah dengan memecah dan mengepung penempatan dengan projek.

"Kita ada bukti, ada fakta. Tuntutan penduduk untuk pampasan setimpal diberi kepada kami sudah kami failkan pada peguam. Kalau kamu ambil tanah mesti ganti dengan tanah. Itu perundangan.

"Bekas Hakim Mahkamah Rayuan, Dato' Mohd Noor Abdullah pun dalam satu wawancara di akhbar 21 September lepas menegaskan supaya ganti balik tanah milik orang Melayu yang hilang," katanya.

Ke mana Pak Man akan pergi?
Jika Pak Daud dan penduduk di sekitar tujuh kampung di Kuala Lumpur diancam pengusiran akibat pelbagai projek pembangunan yang tidak berpihak kepada rakyat, lain pula halnya dengan nasib dialami komuniti miskin bandar di ibu kota.

Rajzuan Ibrahim, 57, atau mesra dipanggil Pak Man bimbang dengan tekanan pihak DBKL supaya mengosongkan tanah yang didiaminya di satu sudut Kampung Periuk iaitu sebahagian Kampung Baru.

Cadangan DBKL agar Pak Man berpindah dengan menyewa unit PPR di Cheras sukar diterima memandangkan faktor kewangannya yang amat terhad selain usia yang semakin meningkat.

"Hendak makan pun susah apa lagi menyewa PPR. Sudah lebih 20 tahun Pak Man hidup mencari rezeki di Kuala Lumpur. Sekarang, untuk menampung hidup saya menternak ayam kampung dan berkebun sayur tapi banyak anak pokok yang musnah dikerjakan ayam pula.

"Mujur ada beberapa NGO yang majoritinya pertubuhan bukan Melayu Islam banyak menghulurkan bantuan berupa makanan dan barangan pengurusan diri. Ringan sikit beban kami," katanya ketika ditemui Harakah, 2 Oktober lalu.

Menyentuh tentang kepekaan institusi kerajaan berkaitan kebajikan Islam, pengalaman beliau yang terpaksa menahan malu pernah terpaksa

Mengulas projek mewah antaranya membina pusat komersial setinggi 56 tingkat di kawasan berdekatan pondoknya, beliau berkata, projek berkenaan hanya menafikan hak golongan miskin bandar, gelandangan termasuk tenaga buruh di sekitar ibu kota untuk tinggal di kawasan tersebut.

Pondok Pak Man juga dikongsi bersama golongan gelandangan kota majoritinya Melayu untuk menumpang teduh termasuk anak kecil berusia enam tahun.

Sehubungan itu, beliau mewakili komuniti tidak berumah merayu dan mengharapkan belas ihsan DBKL untuk membenarkan mereka tinggal di situ.

"Kasihanilah kami. Lagipun, Perdana Menteri masa bulan puasa lepas sudah berjanji nak bina pusat perlindungan untuk golongan tidak berumah seperti kami ini," tambah Pak Man yang berasal dari Felda Sungai Tiang, Kedah.

Tiada ulasan: