Rabu, 15 Oktober 2014

Ahmad Maslan diseru kira semula subsidi

MUHAMMAD FAIZAL


KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli menyeru Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Maslan menyemak kembali pengiraan subsidi supaya ia tidak mengelirukan rakyat.

Beliau menyatakan demikian merujuk dalam satu pertemuan dengan penjawat awam, Ahmad dilaporkan berkata dasar memberi subsidi kepada semua rakyat adalah dasar yang bodoh.

Ahmad juga dipetik sebagai berkata jika subsidi sebanyak RM24 billion setahun itu tidak diberikan, ia boleh digunakan untuk membina 40 hospital setiap tahun.

Menurut Rafizi, jumlah RM24 bilion yang disebut-sebut itu bukanlah semuanya digunakan untuk memberi subsidi petrol dan diesel seperti yang didakwa.

Katanya, jumlah subsidi petrol dan diesel hanyalah RM13.7 bilion (diunjurkan bagi tahun 2014).

Beliau berkata, baki dari angka yang disebut sebagai subsidi itu adalah anggaran RM5 bilion untuk gas memasak LPG dan RM5 bilion lagi tanggungan BR1M.

Katanya, jumlah RM13.7 bilion ini jika dibandingkan dengan jumlah bayaran faedah hutang yang terpaksa ditanggung setiap tahun tidaklah begitu tinggi.

Tambahnya, pentadbiran Datuk Seri Najib Tun Razak dijangka membelanjakan RM24.4 bilion bagi tahun 2015 hanya untuk membayar faedah dan bunga dari hutang-hutang yang diambil oleh Kerajaan Persekutuan.

"Sebab itu kami menyeru supaya Datuk Ahmad Maslan berhenti menghina rakyat dengan cuba memberi gambaran seolah-olah rakyatlah punca tempangnya kedudukan kewangan Kerajaan Persekutuan sekarang," ujarnya pada sidang media di lobi parlimen bersama Ahli Parlimen Kelana Jaya, Wong Chen.

Katanya, pemberian subsidi petrol dan diesel yang selalu diungkit oleh Ahmad itu tidak sampai separuh dari jumlah faedah dan bunga yang dibayar oleh rakyat kerana Barisan Nasional terus berhutang.

Sewajarnya, kata beliau untuk mengurangkan belanja kerajaan, lebih berkesan sekiranya Ahmad mencari jalan untuk mengurang hutang dan memotong bayaran faedah dan bunga dari hutang-hutang tersebut.

Beliau juga ingin mempersoalkan ke manakah penjimatan dari beberapa siri kenaikan harga minyak sebelum ini.

Katanya, jika alasan Ahmad Maslan adalah menaikkan harga minyak boleh mengalihkan sumber kewangan negara untuk membina hospital dan kemudahan lain, berapa banyak hospital, naiktaraf pengangkutan awam dan lain-lain yang telah dilaksanakan dari penjimatan-penjimatan berikut:

- Apabila Kerajaan Persekutuan menaikkan harga petrol dan diesel sebanyak 20 sen dalam September 2013, unjuran penjimatan subsidi bagi tempoh September 2013 hingga September 2014 adalah RM4.7 bilion;

- Apabila harga petrol dan diesel dinaikkan lagi 20 sen baru-baru ini, unjuran penjimatan subsidi bagi tempoh Oktober 2014 hingga Disember 2014 ialah RM1.4 bilion

- Mana berpuluh-puluh hospital, sekolah, universiti, bas-bas baru yang telah disediakan oleh Barisan Nasional hasil penjimatan sebanyak RM6.1 bilion ini dalam tempoh setahun yang lalu?

"Malangnya kita tahu wang ini tidak dikembalikan kepada rakyat, sebaliknya terus membiayai keborosan pimpinan kerajaan dan peruntukan-peruntukan yang tidak sampai kepada rakyat," katanya lagi. - HARAKAHDAILY

Tiada ulasan: