Oleh Zeanaaima Mohd Yusof
KOTA TINGGI: Muktamar PAS kali ke-60 membuka tirainya hari ini dengan tumpuan dijangka diberikan kepada perbahasan di kalangan perwakilan Pemuda dan juga Ulama berhubung kemelut pelantikan Menteri Besar Selangor yang baharu.
Fokus juga akan dihalakan kepada perbahasan di antara dua kelompok
dalam PAS iaitu golongan profesional dan juga golongan ulama.
Kedua-dua kelompok ini dilihat saling bercanggah pendirian berhubung pencalonan pengganti Tan Sri Khalid Ibrahim.
Jawatankuasa PAS Pusat yang didominasi golongan profesional bersetuju
sebulat suara untuk menyokong PKR yang menetapkan Presiden PKR, Datuk
Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai calon Menteri Besar Selangor.
Namun keputusan itu tidak selari dengan pendirian golongan ulama
termasuk juga Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan juga
Mursyidul Am PAS, Datuk Seri Nik Abdul Aziz Nik Mat.
Masing-masing membuat kenyataan yang jelas berlainan sekali gus
memperlihatkan jurang yang semakin besar di antara dua kelompok itu.
Hadi dilaporkan menghantar nama tiga ADUN PAS iaitu ADUN Chempaka,
Iskandar Samad; ADUN Sabak, Sallehen Mukhyi dan ADUN Sijangkang, Dr
Yunus Hairi kepada istana.
Hadi kemudiannya dilaporkan menghantar senarai nama kedua kepada
istana. Kali ini melibatkan dua ADUN PKR dan seorang ADUN PAS. Mereka
adalah ADUN Chempaka, Iskandar Samad; ADUN Ijok, Dr Idris Ahmad (PKR)
dan ADUN Kota Anggerik, Yaakob Sapari (PKR).
Tindakan PAS itu mengundang cemuhan PKR dan DAP yang nekad menamakan
calon tunggal mereka Azizah meskipun menyebabkan Sultan Selangor murka.
Mengeruhkan lagi keadaan apabila Timbalan Presiden PAS, Mohamed Sabu
dilaporkan cuba menasihati golongan ulama agar tidak menggunakan imej
Islam untuk menghalalkan segala tindakan mereka.
Katanya, imej keislaman yang melampau akan menjadikan PAS tidak lagi relevan kepada rakyat Malaysia pada masa depan.
"Kepimpinan (teratas) PAS tidak harus terlalu bangga dalam menggunakan
Islam sebagai perisai untuk mempertahankan segala tindakan mereka.
"Para ulama dalam PAS harus menjalankan reformasi dalaman dan lebih
terbuka berhubung isu-isu rasuah dan keadilan,” kata Mat Sabu.
Penegasan Mat Sabu itu dijangka turut dibahaskan perwakilan PAS hari ini.
Muktamar kali ini juga diramal turut membahaskan isu sebuah badan bukan
kerajaan (NGO) yang dianggotai ahli PAS sendiri, iaitu Persatuan Ummah
Sejahtera Malaysia atau PasMa.
NGO itu kononnya adalah satu gerakan untuk menjatuhkan Hadi, namun ia dinafikan presidennya, Datuk Pharolrazi Zawawi.
Meskipun mengaku terdapat desakan ahli PasMa yang mahu supaya Hadi
diturunkan, Pahrolrazi menegaskan ia sekadar pandangan dan tiada
tindakan susulan mengenainya.
PasMa adalah gerakan yang menyokong kerjasama PAS dengan PKR dan DAP dalam Pakatan Rakyat, kata Pahrolrazi lagi.
Muktamar PAS dijadualkan berlangsung bermula hari ini sehingga Sabtu
depan dengan Persidangan Dewan Pemuda PAS diadakan hari ini dan esok
(Selasa dan Rabu), Persidangan Dewan Ulama (Rabu) dan Muktamar Penuh
pula pada Khamis, Jumaat dan Sabtu.
Muktamar kali ke-60 ini pada mulanya dijadual diadakan di kawasan
parkir Sutera Mall, Johor Bahru pada 18 hingga 20 September, sebelum
dipindahkan ke Parit Raja, Batu Pahat akibat masalah dengan pemilik
pusat beli-belah itu.
Terbaru Persidangan Pemuda PAS diadakan di Dewan Chon Moi, Kota Tinggi.
Sementara Persidangan Dewan Ulama dijalankan di Kulaijaya manakala
muktamar penuh akan diadakan di Batu Pahat.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan