Oleh Shuhaniza Said
SHAH ALAM: Pendekatan yang berbeza antara PAS dan PKR berhubung titah
Sultan Selangor dalam isu nama menteri besar, akan mengundang persepsi
negatif rakyat negeri ini terhadap Pakatan Rakyat (Pakatan).
Apatah lagi dengan pandangan beberapa pemimpin dari kedua-dua parti itu yang secara jelas menyanggah antara satu sama lain.
Penganalisis politik, Prof Madya Dr Shaharuddin Badaruddin berkata,
walaupun tidak menjadi kesalahan untuk PAS dan PKR mempunyai pendirian
berbeza berhubung-isu pencalonan jawatan itu, adalah lebih molek
sekiranya ketiga-tiga parti berpegang dengan konsensus yang dicapai
sebelum ini.
"Pendekatan PAS tidak salah cuma tidak berdasarkan konsensus. Pandangan
PKR dan DAP juga tak salah kerana tafsiran perlembagaan mengatakan
bahawa rakyat itu mesti didahulukan.
"Kalau parti politik yang dipilih oleh rakyat itu sudah membuat
keputusan, hantar kepada Sultan untuk baginda menggunakan budi bicara
kerana PR sebenarnya yang berhak beri pandangan berikutan ianya diyakini
mempunyai majoriti lebih dalam DUN.
"Alangkah cantiknya begitu kerana kita harus lihat bahawa persepsi
masyarakat yang melihat PR sebuah entiti yang memerintah Selangor sejak
2008. Jadi kepercayaan rakyat itu, mahu atau tidak, bergantung kepada
sejauh mana keeratan kedudukan parti politik itu," katanya kepada
Antarapos.
Namun, Shaharuddin dalam pada itu juga berkata, walaupun menjadi hak
PAS untuk mengemukakan keputusannya, parti Islam itu tidak sewajarnya
'mengubah' atau dilihat bermain tarik tali berhubung perkara itu.
"PAS sendiri jangan terlalu banyak membuat keputusan dalam beberapa
minggu. Bagi saya, kalau mereka membuat keputusan untuk menghantar dua
nama, hantar sajalah dua nama.
"Itu terpulang kepada parti, walaupun ia bertentangan dengan PKR dan
DAP yang cuma mahu menghantar satu nama. Itupun PAS kena hormati,"
katanya lagi.
PAS dalam mesyuarat Jawatankuasa Pusatnya pada 17 Ogos lalu memutuskan
untuk menyokong Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail
sebagai calon Menteri Besar Selangor yang baharu, namun pada masa sama
mengemukakan nama alternatif, iaitu Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali.
Namun dalam Mesyuarat Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat pada sebelah
petang hari sama, PAS kemudiaannya bersetuju dan selari dengan PKR dan
DAP untuk mengangkat satu nama sahaja, iaitu Wan Azizah bagi mengisi
jawatan tersebut.
Namun pada 26 Ogos iaitu apabila Sultan Selangor menitahkan agar setiap
parti dalam Pakatan Rakyat mencadangkan lebih daripada dua nama kepada
baginda untuk diperkenan sebagai Menteri Besar Selangor, PAS dilihat
mengubah pendiriannya.
Parti itu kemudiannya mengadakan perbincangan semula bagi
mempertimbangkan titah tersebut dan memutuskan untuk menghantar lebih
daripada satu nama, sekali gus bercanggah dengan konsensus gabungan
pembangkang itu yang dicapai sebelum ini.
Teka-teki berhubung nama yang akan dikemukakan PAS kepada pihak istana hanya akan diketahui hari ini setelah ianya diserahkan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan