Sabtu, 13 September 2014

Isu MB: Jangan gadaikan ilmu semata demi memenuhi nafsu politik pihak lain - Aidit

Oleh Shuhaniza Said
Post Pic
 
 
 
SHAH ALAM: Jangan sampai menggadaikan pengalaman dan ilmu undang-undang semata-mata demi mahu meraikan hajat serta impian pihak yang gilakan kuasa, khususnya berhubung kemelut jawatan Menteri Besar Selangor, demikian tegas Timbalan Presiden JATI, Datuk Aidit Ghazali.
 
Aidit dalam pada itu juga membidas tindakan sesetengah ahli akademik yang mengeluarkan kenyataan tanpa merujuk kepada fakta dan situasi yang berlaku di Selangor, yang menafikan hak mutlak Sultan Selangor berhubung pelantikan Menteri Besar.    
 
"Kalau ada orang yang ada ilmu undang-undang, ilmu agama, tahu tradisi yang wujud di Selangor, (tetap) sanggup mengepikan ilmu dan pengalaman mereka semata nak meraikan orang yang bernama Anwar dan konconya, maka orang ini bukan sekadar derhaka kepada Sultan, tetapi derhaka kepada ilmu dan derhaka kepada segala sumpah yang telah diangkat bila hendak mencari ilmu yang penuh dengan kemuliaan," katanya kepada Antarapos.  
 
Tanpa menyebut secara khusus individu yang dimaksudkan, Aidit selain itu berkata, individu tersebut tidak layak mendapat gelaran 'pakar perlembagaan'. 
 
"Saya musykil bagaimana mereka ini, yang tak ada siapa pun pernah panggil mereka ini pakar perlembagaan. Tak ada siapa beri. Hanya kalangan mereka yang memperakui demi mencapai matlamat politk Anwar Ibrahim," katanya lagi.
 
Beberapa hari lalu, bekas pensyarah undang-undang Universiti Islam Antarabangsa (UIA), Dr Aziz Bari dalam satu forum anjuran Persatuan Ummah Sejahtera Malaysia (PasMa) mendakwa istilah 'kuasa mutlak' oleh seseorang raja atau sultan tidak wujud mengikut Perlembagaan Persekutuan dan amalan demokrasi.
 
"No such thing as absolute power sebab kita mengamalkan demokrasi. Dalam demokrasi tidak ada apa yang dikatakan kuasa mutlak. Saya fikir dalam Islam pun tak ada kuasa mutlak.
 
"Jadi dari mana kuasa mutlak ini (timbul)? Apa asasnya?" kata Aziz ketika menjawab soalan hadirian yang bertanya mengenai kuasa yang dimiliki oleh Sultan Selangor  dalam melantik seorang menteri besar.
    
Mengulas berhubung perkara itu, Aidit berkata, jelas sekali individu berkenaan tidak mengkaji secara teliti sebelum mengeluarkan kenyataan.
   
"Precedent (amalan terdahulunya) ialah Sultan dan Raja-raja mempunyai hak mutlak atas siapa yang mereka hendak lantik sebagai MB. Anwar tak ada hak nak cipta precedent lain. Inilah 'precedent' (amalannya). 
 
Dari segi Undang-undang Tubuh Negeri Selangor, Sultan ada hak untuk memperkenankan siapa yang jadi MB. Lebih-lebih lagi siapa yang jadi MB, beliau nanti kena pikul amanah dan perkenan Sultan atau Raja negeri itu," katanya lagi.
 
Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Selangor 1959 dalam Artikel 51 memperuntukkan bahawa Sultan mempunyai kuasa mutlak berhubung pelantikan Menteri Besar negeri itu. 
 
Sultan juga berhak untuk melantik seorang anggota DUN sebagai menteri besar yang menurut pertimbangan baginda mendapat keyakinan majoriti dewan dan syarat kedua, seorang Menteri Besar yang dilantik mestilah berketurunan Melayu dan beragama Islam.
 
Perkara tersebut dirujuk berdasarkan Artikel 51 (1) serta berdasarkan Artikel 53 (2)(a); dan Artikel 51 (2) tertakluk kepada Artikel 53 (4) dalam Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Selangor 1959.

Tiada ulasan: