Khamis, 11 September 2014

Bantah tindakan Felda, Anak adu kepada Suhakam

MUHAMMAD FAIZAL






KUALA LUMPUR: Dianggarkan hampir 500 peneroka Felda seluruh negara hadir di pejabat Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) hari ini bagi membantah tindakan Felda yang menekan para peneroka.

Himpunan aman peneroka yang dianjurkan Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) ini bertujuan agar Suhakam dapat berbincang dengan Felda dan kerajaan dalam menyelesaikan masalah yang dihadapi peneroka.

Presidennya, Mazlan Aliman memberitahu pertemuaan ini bertujuan agar Suhakam mendengar segala permasalahan melibatkan peneroka dengan Felda.

"Kita amat berpuashati dengan maklum balas dari pertemuan tersebut serta kerjasama yang diberikan.

"Ini yang kita harapkan ada segala apa yang peneroka luahkan ini menemuai jalan penyelesaian yang terbaik serta memihak kepada golongan peneroka," katanya selepas pertemuan tersebut.

Mazlan pada pertemuan tersebut meminta agar Suhakam meneliti kembali perjanjian antara peneroka dengan Felda di bawah Perjanjian Tanam Semula dan Pengurusan Kebun yang dilihat sebagai berat sebelah.

"Adalah tidak munasabah setelah peneroka membayar hutan piutang dan memperolehi gerah hak milik tanah, mereka sekali lagi dipaksa menandatangani perjanjian.

"Ini bukan sahaja berat sebelah tetapi turut memberi implikasi buruk kepada peneroka," katanya.

Tambah beliau lagi, Suhakam juga diminta untuk menyiasat tentang insentif Hari Raya dan dividen yang dijanjikan Perdana Menteri pada 5 Julai lalu sebanyak RM72.69 juta kepada seluruh peneroka.

Namun, terdapat peneroka yang dinafikan penerimaan insentif dan dividen tersebut walaupun peruntukan tersebut disediakan untuk seluruh peneroka seramai 112,635 orang.

"Dalam pada itu kita turut menekankan sikap diskriminasi terhadap peneroka yang tidak bersama Felda.

"Sepatutnya mereka diberikan penghargaan atas usaha mereka selama ini tetapi tidak mereka dicemuh dan dilabelkan dalam masyarakat, malah turut diancam serta dipulaukan.

"Dalam rayuan lain kita turut meminta agar Kadar Perahan Gred (KPG) dikaji dan disegerakan kerana ia membawa kerugian besar kepada peneroka," sambung beliau.

Sementara itu, Pesuruhjaya Suhakam James Nayagan yang mendengar rayuan peneroka itu turut berjanji akan menjalankan siasatan atas aduan yang telah diterima.

"Hasil dari siasatan ini, kita akan bincangkan di peringkat majlis suruhanjaya.

"Selepas siasatan ini juga kita akan adakan satu rundingan meja bulat bagi mencari jalan penyelesaian, dalam masa yang sama satu lawatan dan perbincangan dengan Putrajaya turut dilakukan.

"Selain dari itu, mana-mana kes di mahkamah membabitkan peneroka dan Felda, Suhakam akan menghantar satu wakil bagi mengikuti penjalanan perbicaraan tersebut," katanya selepas mendengar aduan dan rayuan dari peneroka.

James turut menerima memorandum daripada Mazlan di hadapan 500 peneroka selepas selesai pertemuaan tersebut.

Dalam pada itu, Anak akan turut menyerahkan memorandum kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di pejabatnya di Putrajaya jam 3 petang hari ini.

Kesemua peneroka akan turut berkumpul di hadapan pintu utama pejabat Perdana Menteri sebagai menyatakan bantahan mereka terhadap Felda.

Turut hadir pada himpunan tersebut adalah Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu. - HARAKAHDAILY







Tiada ulasan: