Ahad, 18 Mei 2014

Walaupun makin kuat, Perkasa tidak cadang lawan Umno

OLEH DIYANA IBRAHIM


Jumlah keahlian Perkasa kini mengukuhkan kedudukan NGO itu dalam memperjuangkan hak Melayu, kata Presiden Perkasa, Datuk Ibrahim Ali. Gambar fail The Malaysian Insider.Jumlah keahlian Perkasa kini mengukuhkan kedudukan NGO itu dalam memperjuangkan hak Melayu, kata Presiden Perkasa, Datuk Ibrahim Ali. Gambar fail The Malaysian Insider.




























Usaha Pertubuhan Pribumi Perkasa (Perkasa) yang giat menambah bilangan ahlinya tidak bermakna pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Melayu itu mahu melawan parti politik Umno, kata Presidennya, Datuk Ibrahim Ali, hari ini.

Bagaimanapun, beliau berkata, pertubuhan pendesak Melayu itu tidak patut dipandang remeh kerana ia kini mempunyai 500,000 ahli dan mesyuarat jawatankuasa di peringkat negeri dijangka diadakan tidak lama lagi.

"Selama ini orang perlekeh Perkasa, kata tidak ada ahli yang ingin menyertainya dan kini kita buktikan ahli kita cukup 13,500 orang untuk pemimpin di setiap kawasan dan jumlah itu tidak termasuk keahlian sebanyak 500,000.

 "Kita juga langsung tidak mahu lawan Umno namun dengan bilangan keahlian yang ada kini Perkasa  sudah sempurna strukturnya. Kita boleh adakan mesyuarat jawatankuasa di peringkat negeri seperti Umno juga PAS," katanya kepada The Malaysian Insider selepas  melancarkan majlis penutup kursus kepahlahawanan Perkasa di Kuala Lumpur, hari ini.

Hadir sama ialah bekas Setiausaha Agung Umno, Tan Sri Sanusi Junid.

Pada program itu beliau menyarankan ahli Perkasa supaya tidak berasa rendah diri dan mengendahkan kritikan pihak lain terhadap pertubuhan itu.

"Saya minta setiap pimpinan Perkasa jangan peduli tohmahan atau kritikan yang orang kata mengenai Perkasa dan jangan layan semua kritikan itu. Paling penting jangan rasa rendah diri," katanya.

Beliau berkata, perjuangan Perkasa dalam mempertahankan hak kaum Bumiputra Melayu selama ini selari dengan apa yang termaktub dalam perlembagaan.

Katanya, Perkasa tidak melakukan perkara yang menyalahi perlembagaan memandangkan pertubuhan itu sah di sisi undang-undang.

"Jadi bagaimana mereka boleh tuduh kita macam-macam sedangkan apa yang Perkasa lalukan adalah mempertahankan perlembagaan dan rukun negara.

"Contohnya daripada segi ekonomi kita perjuangkan hak Melayu Bumiputra untuk susunan kaum yang lebih adil, bila adil maka wujudnya perpaduan dan keharmonian. Adakah ia salah," katanya.

Ketika ditanya adakah Perkasa kini dilihat mengambil alih peranan Umno dalam mengangkat suara masyarakat Melayu, Ibrahim berkata, Perkasa hanya komited dengan perjuangannya.

"Saya tidak mahu mencampuri urusan politik dan Umno, itu biarlah mereka, tapi sekarang kita akan menjadi pertubuhan kuat dalam pertambahan bilangan ahli kita.

"Segala kos perbelanjaan ahli juga adalah daripada mereka sendiri, kita tidak mengharap kepada mana-mana pihak," katanya.

Tiada ulasan: