Sabtu, 16 November 2013

Yang Dipertua Dewan


Oleh Izmil Amri


Tulisan ini hanya rekaan semata-mata. Tidak ada kena mengena dengan sesiapa yang masih hidup atau pun yang telah mati.

Tuan Speaker, point of order. Saya mohon izin laluan untuk minta penjelasan. Gombak dan Tanjung Karang boleh sambung bergaduh di luar. Tanjung Karang boleh balik ternak udang. Saya tak kisah. Tapi ini saya kena tanya. Boleh atau tidak Dewan yang mulia ini memecat Tuan Speaker?

Ya sabar, jangan menjerit dulu, Tanjung Karang. Awak dengar dulu ni saya nak baca point of order ni. Aturan Mesyuarat ni, hormatlah. Duduk dulu.

Tuan Speaker,

Perkara 3 Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat menetapkan bahawa, “Bila-bila jawatan Tuan Yang Dipertua itu kosong, baik dengan sebab dibubarkan Parlimen atau dengan lain-lain sebab, maka majlis, sebaik-baik cukup bilang ahlinya, hendaklah memilih Tuan Yang Dipertua”.

Saya nak ingatkan Dewan yang mulia ini bahawa kerusi speaker ini adalah kerusi yang diputuskan melalui undian dan kepercayaan Ahli Dewan. Tuan Speaker berperanan sebagai ‘pengadil’ antara blok kerajaan dan pembangkang. Tuan Speaker bukan kerajaan, dan bukan juga pembangkang; jadi Speaker tidak boleh berat sebelah.

Sikap berat sebelah Speaker adalah penghinaan bukan setakat kepada institusi Yang Diertua, malah merupakan suatu penghinaan kepada institusi Parlimen yang diketuai oleh Yang di-Pertuan Agong.
Malah tidak salah sekiranya kita mengatakan bahawa Speaker Dewan bukannya entiti yang berdiri paling tinggi dalam institusi Parlimen, jadi harus hormat prinsip-prinsip asas keadilan ketimbang menghina Yang di-Pertuan Agong dengan bertindak secara bias dan tidak adil.

Ya Kinabatangan, ‘ketimbang’ tu maksudnya ‘berbanding’. Duduk dulu, bagi saya habis.

Tuan Speaker,

Peraturan mesyuarat ini pula harus dibaca bersama Perkara 62(1) Perlembagaan Persekutuan; dan dalam soal Speaker Dewan ini, kita juga kena baca Perkara 57. Undang-undang nampaknya tidak membuat sebarang peruntukan terhadap keadaan sekiranya Yang Dipertua Dewan tidak lagi layak menjadi Yang Dipertua dan tidak boleh mengawal Dewan.

Ini sesuatu yang amat pelik bagi saya. Perdana Menteri pun boleh dipecat oleh Yang di-Pertuan Agong. Tapi Yang Dipertua Dewan seakan-akan makhluk yang tidak boleh disentuh. Ini pelik sekali.

Yang ada cuma Peraturan 99. Apa dia peraturan 99 ini?

“Keputusan Tuan Yang Dipertua berkenaan dengan sebarang perkara tafsir dalam mana-mana jua Peraturan Mesyuarat ini atau berkenaan dengan kelaziman adalah muktamad kecuali jika ada usul bersendiri menentang keputusan Tuan Yang Dipertua; Tuan Yang Dipertua, dari satu masa ke satu masa, boleh mengeluarkan petua berkenaan dengan perkara itu.

Ya, Kinabatangan; saya pun keliru apa bendanya ‘petua-petua’ ini. Jadi saya rujuk juga versi bahasa Inggeris. Versi dalam bahasa Inggeris saya menemukan bahawa kalimat ‘petua’ diterjemah sebagai ‘ruling’. Ini bukan petua, tapi keputusan.

Jadinya Speaker Dewan ini berkuasa betul. Siapa yang disayangi Speaker memang beruntung.

Tetapi saya mahu bangkitkan soal kebolehan Ahli Dewan untuk mengemukakan usul bagi menentang keputusan Speaker. Ini juga wajar dibaca bersekali dengan Perkara 62(1) Perlembagaan Persekutuan yang menetapkan bahawa “Tertakluk kepada peruntukan Perlembagaan ini dan peruntukan undang-undang persekutuan, setiap Majlis Parlimen hendaklah mengawal selia tatacaranya sendiri.”

Bererti Dewan yang mulia ini adalah entiti yang mentadbir diri sendiri atau ‘self governing’, dengan izin.

Tuan Speaker,

Saya sungguh-sungguh mahu minta penjelasan. Adakah Tuan Yang Dipertua ini institusi kebal yang tidak boleh disemak imbang, atau adakah Tuan Speaker juga Ahli Dewan Rakyat seperti ahli Yang Berhormat yang lain?

Apa sebabnya tidak ada peruntukan undang-undang atau peraturan untuk ‘impeach’ Tuan Speaker; atau adakah saya saja yang rabun tak nampak peruntukan itu?

Tiada ulasan: