Seorang
bekas ahli politik Sabah dikenakan hukuman penjara 30 bulan dan denda
RM2.75 juta oleh Mahkamah Khas Rasuah di Kota Kinabalu, semalam, selepas
didapati bersalah atas dua tuduhan mengamalkan rasuah, lima tahun lalu.
Hakim Dean Wayne Daly menjatuhkan hukuman ke atas bekas presiden Parti
Setia Sabah, Suaidin@Suhaidin Langkab@Langab, 63, selepas pembelaan
gagal menimbulkan sebarang keraguan munasabah di akhir kes pembelaan.
Bagi pertuduhan pertama, Suaidin dikenakan hukuman penjara 18 bulan dan
denda RM2 juta atau setahun penjara kerana meminta suapan sebanyak
RM400,000 daripada Chew Ai Wah sebagai dorongan kononnya sebagai bayaran
kepada pegawai di Jabatan Tanah dan Ukur (JTU).
Bayaran tersebut didakwa adalah bagi mengurus proses pengeluaran geran
untuk Lot Tanah PT 80231840-PT80231842 and PT 80231849-PT80231852 dalam
daerah Pitas, Sabah.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah bilik di Hotel Tang Dynasty di Kota Kinabalu pada jam 9.30 malam, 28 Ogos, 2008.
Bagi pertuduhan kedua, dia dikenakan hukuman senjara 12 bulan dan denda
RM750,000 atau 10 bulan penjara kerana menerima suapan sebanyak
RM150,000 daripada Chew untuk tujuan sama di Restoran Penyu, Hotel Nexus
Karambunai Resort, Kota Kinabalu pada jam 9 malam, 19 September, 2008.
Mahkamah memerintah hukuman penjara itu berjalan serentak iaitu hukuman yang lebih berat, 18 bulan penjara.
Dalam penghakimannya, Daly berkata, berdasarkan keterangan, alasan
pihak pembelaan bahawa wang itu adalah wang cengkeram tidak dapat
diterima serta kesalahan itu adalah serius dan boleh memberi imej buruk
kepada JTU.
Bagaimanapun, mahkamah membenarkan permohonan peguam tertuduh, Zahir
Shah untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman sementara menunggu rayuan di
Mahkamah Tinggi dan tertuduh dibenarkan ikat jamin RM20,000 dengan
seorang penjamin.
Pada 13 April 2012, Suaidin didakwa dan mengaku tidak bersalah atas dua
tuduhan tersebut mengikut Seksyen 10(a)(a) Akta Pencegahan Rasuah 1997.
Tuduhan tersebut membawa hukuman penjara antara 14 hari hingga 20 tahun
dan didenda lima kali jumlah rasuah atau minimum RM10,000.
Sebanyak 21 saksi pendakwa dan lima saksi pembela dipanggil memberi keterangan.
Pihak pendakwaan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) diwakili
Timbalan Pendakwa Raya, Joyce Blasius dan Pengawai Pendakwa Awang
Samsul Baharam
Tiada ulasan:
Catat Ulasan