Isnin, 25 November 2013

Rock metal: Pas masih ikut prinsip


Dr Muhaimin Sulam  
 
Dr Muhaimin Sulam


SHAH ALAM - Persembahan melibatkan kumpulan muzik Underground di Karnival Muktamar Pas kali ke-59, Jumaat lalu, dilakukan untuk menarik anak muda yang minat hiburan dan persembahan itu berlangsung secara terkawal.

Ketua Lajnah Kebudayaan dan Kesenian Pas Pusat, Dr Muhaimin Sulam berkata, pengunjung mungkin terkejut dengan salah satu pengisian persembahan malam itu yang berkonsepkan rock metal.

Namun menurutnya, ia sesuai dengan tema karnival tahun ini, 'Pas For All' (Pas untuk semua) dan persembahan Gig Grid Zon malam itu dikhususkan kepada golongan muda.

"Kehadiran empat lima anak muda di atas pentas dengan rambut panjang, seluar jeans, kemeja-T tidak bersongkok dan terenjut di pentas menyebabkan penonton seakan terkena serangan jantung.

"Tetapi persembahan itu adalah salah satu cara kita menarik anak muda yang sememangnya sukakan hiburan rancak, namun tidak melanggar prinsip parti," katanya dalam ucapan penggulungan, semalam.

Beliau berkata, ahli Pas jangan tutup kamus pemikiran dengan isu-isu keagamaan sahaja, tanpa melihat persekitaran masyarakat yang luas untuk didekati.

"Pengerusi Lajnah Pendidikan Pas Pusat, Datuk Abu Bakar Chik, juga sudi merasmikan persembahan itu dan main dram, walaupun tidak seperti pemain profesional.

"Kehadiran Timbalan Pesuruhjaya Pas Selangor, Sallehen Mukhyi ke majlis itu juga menunjukkan keterbukaan beliau pada persembahan yang berbeza dengan persembahan sebelum ini yang secara tidak langsung mungkin menjadi penyebab Selangor masih kekal menang di Selangor," katanya.

Beliau berkata, asalkan sesuatu persembahan tidak lari dari prinsip parti maka, ia pasti akan memberi kebaikan kepada perjuangan Pas.

"Terimalah kami anak-anak seni untuk bersama tuan puan," katanya.

Tiada ulasan: