Fizo Omar
 

SIAPA sangka, gurauan pelakon kacak, Fizo Omar untuk membawa pulang gadis yang menjadi model pada beg kertas Fareeda buat ibunya menjadi kenyataan semalam.

Jelas Fizo, dia ketika itu ditemu bual wakil Fareeda setahun lalu, dia hanya bergurau, namun perasaan itu berubah enam bulan lalu apabila dia benar-benar ingin mendekati anak pemilik Fareeda yang juga model berkenaan, Mawar Abdul Karim.

Justeru, bermula dengan perbincangan atas dasar kerja, hubungan tersebut mula menjadi akrab selepas Fizo menunjukkan kesungguhan untuk memiliki Mawar. Apatah lagi selepas dia melihat kesungguhan dan kebijaksanaan wanita itu menguruskan perniagaan ibunya.

“Ketika mula-mula saya minta nombor Mawar, memang susah dia nak beri. Tapi lama kelamaan barulah dia berlembut hati untuk memberi,” imbas Fizo.

Walaupun belum cukup setahun usia perkenalan mereka, namun ia bukanlah satu halangan besar buat pasangan ini meneruskan niat untuk mendirikan rumah tangga.

Pasangan sama cantik sama padan ini selamat bergelar suami dan isteri dengan sekali lafaz di kediaman keluarga pengantin perempuan di Country Heights, Kajang, kira-kira jam 9.30 pagi, semalam.

Acara tersebut turut disiarkan secara langsung menerusi program bual bicara, Nasi Lemak Kopi O di TV9.

Pemilik nama sebenar, Wan Hafizol Wan Omar, 28, telah dinikahkan oleh Pegawai Tadbir Agama Daerah Ulu Langat, Ustaz Mohd Arif Abdul Samad berwalikan Hakim Pejabat Agama Islam Ulu Langat.

Mawar, 24, adalah anak sulung kepada pengasas tudung Fareeda, menerima mas kahwin sebanyak RM506.

Ketika upacara membatalkan air sembahyang, Fizo menyerahkan mas kahwin dan menyarungkan sebentuk cincin berlian ke jari manis isterinya itu dan Mawar turut menyarungkan sebentuk cincin ke jari Fizo.

Pemilik perniagaan Hot Burger itu turut menyerahkan tujuh dulang hantaran berupa mas kahwin, jam tangan, tas tangan, sebentuk cincin berlian putih, jongkong emas berukir perkataan ‘Fizo Love Mawar’ seberat 1.011 kg dan sebuah vespa.

Kesemua hantaran ini dibawa khas oleh rakan artis yang juga rakan baik Fizo iaitu Fahrin Ahmad, Iqram Dinzly, Shaheizy Sam, Johan As’ari, Kamal Adli, Karl Shafek dan Nazim Othman serta diketuai oleh Datuk Rosyam Nor.

Manakala, Mawar pula berbalas sembilan dulang hantaran kepada pengantin lelaki berupa tas tangan lelaki, cermin mata hitam, kasut, dua naskhah al-Quran, plat motosikal MF120, sehelai jaket motosikal, komputer riba dan sebuah motosikal berkuasa tinggi (1200 cc) jenama Ducati.

Majlis penuh meriah itu menyaksikan Fizo kelihatan cukup segak berbaju Melayu berwarna putih hasil rekaan Man Kajang manakala pengantin perempuannya pula sungguh ayu mengenakan busana hasil rekaan Radzuan Radziwill.

Selain itu, majlis yang penuh istiadat Melayu itu dihadiri kira-kira 1, 000 tetamu yang terdiri daripada ibu bapa dan ahli keluarga terdekat kedua-dua mempelai, teman-teman rapat dan wakil-wakil media.

Lebih menarik lagi, kunjungan rombongan pihak lelaki telah diiringi oleh 30 motosikal berkuasa tinggi jenama Ducati dari Ducati Club Malaysia.

Satu tanggungjawab berat - Fizo

Mengulas lanjut mengenai mengenai majlis pernikahannya itu, Fizo ketika ditemui berkata, dia sangat bersyukur kerana telah selamat bergelar suami kepada Mawar dan mengharapkan perjalanan hidupnya lebih teratur dan diberkati selepas ini.

“Saya sangat bersyukur kerana kini sah bergelar suami. Ini adalah satu permulaan baharu dalam kehidupan saya di masa hadapan.

“Saya rasa sangat beruntung kerana menjadi buah hati pertama Mawar. Ia adalah satu pengalaman baru buat saya.

“Mawar membawa saya mengimbau kembali perjalanan kisah cinta saya. Saya suka dia. Sikapnya yang kadang kala agak lurus bendul membuatkan saya gemar menyakatnya,” seloroh Fizo sambil menjeling manja ke arah isterinya.

Mengakui agak sebak sewaktu dinikahkan, Fizo memberitahu perasaan itu menyelubungi dirinya memandangkan apabila arwah bapanya yang tidak berkesempatan untuk melihat dia mendirikan rumah tangga.

Malah, naib juara Hero Remaja itu juga begitu rapat dengan arwah bapa.

“Walaupun agak sedih, namun saya gembira kerana diberikan kesempatan untuk menggembirakan insan-insan lain di sekeliling seperti ibu dan adik beradik saya yang lain,” katanya.

Kejutan untuk Mawar


Selain menampilkan barisan selebriti untuk membawa dulang hantarannya, Fizo juga membuat kejutan apabila memberi jongkong emas bertulis ‘Fizo Love Mawar’ seberat 1.011 kg kepada Mawar.

Kata Fizo, niat untuk memberi jongkong emas itu memang sudah lama dan perkara ini hanyalah diketahui oleh ibunya.

“Memang saya sudah berniat untuk memberikan jongkong emas itu kepada mana-mana wanita yang akan menjadi isteri saya kelak.

“Jongkong emas itu ialah simbolik kepada usaha kerja keras saya sama ada dalam bidang seni atau perniagaan.

“Sudah lama saya kumpul duit sedikit demi sedikit bagi merealisasikan hasrat itu,” katanya.

Dalam pada itu, Fizo berkata, dia kini sudah pun membeli rumah berhampiran dengan kediaman keluarga Mawar di Country Heights, Kajang.

“Rumah saya di Bukit Antarabangsa terlalu jauh dengan rumah mertua, sementelah lagi, Mawar pula rapat dengan ibunya.

“Kebetulan, ada kekosongan di rumah sebelah jadi saya cuba nasib untuk membelinya. Tak sangka saya berjaya dapatkan rumah itu.

“Selain kami berdua, saya juga akan membawa ibu dan adik untuk menetap bersama. Saya tak akan wujudkan sebarang jurang kasih sayang antara ibu dan isteri. Saya akan sayang kedua-duanya sama rata,” katanya sambil memberitahu bahawa dia tetap akan bertanggungjawab menjaga ibunya walaupun sudah berkahwin.

Tertarik dengan sikap Fizo - Mawar

Sementara itu, bagi Mawar pula, dia beruntung kerana bersuamikan Fizo.

“Fizo adalah lelaki yang sangat bertanggungjawab, penyayang dan mengutamakan keluarga,” katanya.

Memandangkan suaminya itu adalah seorang selebriti terkenal di negara ini, Mawar juga nampaknya sudah bersedia untuk menghadapi situasi berkenaan.

“Saya sudah bersedia untuk menempuh apa jua situasi pun dalam bidang seni. Saya kenal dia sebagai Wan Hafizol iaitu suami saya yang biasa dan bukannya Fizo iaitu seorang artis.

“Tanggungjawabnya pada peminat dan keluarga adalah satu perkara yang berlainan,” jelasnya.

Tambahnya, ramai yang berkata bahawa untuk menjadi satu pasangan yang serasi mengambil masa yang sangat lama.

“Saya mengakui akan hal berkenaan,” jelasnya lagi.

Idam cahaya mata?

Lumrah bagi pasangan yang berkahwin, pastinya mengidamkan cahaya mata sebagai penyeri rumah tangga.

Baik Fizo mahupun Mawar, mereka menyerahkan soal itu kepada ALLAH SWT.

“Saya teramat sukakan budak-budak. Kalau boleh saya nak secepat mungkin. Tapi semuanya saya serahkan pada ALLAH SWT. Jika ada rezeki, adalah.

“Mungkin buat masa sekarang, kami fokuskan terlebih dahulu pada kehidupan kami berdua,” seloroh Fizo sambil diiringi senyuman Mawar.

Dalam pada itu, pasangan ini merancang untuk berbulan madu mengelilingi Eropah selama tiga minggu, awal Disember nanti.

“London dan Perancis, adalah dua tempat yang kami akan lawati nanti,” katanya sambil memberitahu ahli keluarga mereka juga akan turut serta dalam percutian itu.

Fizo juga memberitahu, majlis resepsi mereka akan dilakukan di Kuala Lumpur, Kelantan dan Pulau Pinang menjelang akhir tahun ini atau Januari depan selepas pulang dari berbulan madu.

Bertunang ikut adat

Terdahulu, sehari sebelum bernikah, Fizo dan Mawar telah mengikat tali pertunangan dan majlis itu telah dilakukan di kediaman yang sama.

Majlis pertunangan merpati dua sejoli itu menampilkan kelainan kerana ia turut disiarkan secara langsung di program bual bicara, Nasi Lemak Kopi O, TV9 dan dihoskan oleh Fizo sendiri.

Selain itu, gimik turut dilakukan apabila Ruminah Sidek atau lebih mesra disapa sebagai Mak Mah bertindak  memakaikan inai di jari Fizo sebagai tanda dia sudah menjadi tunangan orang.

Begitu pun, dia sekadar mengikut adat dan syarat untuk mengikat tali pertunangan biarpun hanya sekejap.