Isnin, 18 November 2013

Penguat Kuasa Agama Terengganu Dibenar Bawa Senjata Api Sejak Lima Tahun Lalu - Exco

 MSTAR ONLINE
 
 
KUALA TERENGGANU: Kerajaan Terengganu membenarkan pegawai penguat kuasa agamanya membawa senjata api sewaktu bertugas sejak lima tahun lalu, kata Exco Pelajaran, Pengajian Tinggi, Inovasi dan Tugas-tugas Khas Ghazali Taib.

Beliau berkata langkah itu bagi menjamin keselamatan pegawai terbabit ketika menjalankan operasi.

"...memang setiap kali menjalankan operasi mereka dibekalkan senjata api dan memang mereka digalakkan membawa senjata tersebut," katanya dalam sidang media sempena perasmian Pameran Haiwan Berbisa 2013 di Muzium Terengganu, di sini, Isnin.

Menurut Ghazali semua pegawai terbabit dilatih dengan penggunaan senjata api. "Mereka juga disahkan oleh doktor tidak mempunyai masalah kesihatan seperti sakit mental," katanya.

Sementara itu, Pengarah Muzium Negeri Mohd Yusof Abdullah yang turut hadir, berkata pameran yang bermula hari ini sehingga 31 Dis tersebut bertujuan mendidik masyarakat untuk mengenali haiwan berbisa dengan lebih dekat.

"Sebanyak 18 spesies ular berbisa dari luar negara dan tempatan dipamerkan antaranya ular orok-orok (Rattle snake), 'Equatorial spitting cobra', 'Suphan cobra', ular tedung selar serta ular senduk. "Selain itu, turut dipamerkan ialah reptilia air berbisa, haiwan aquatik berbisa seperti landak laut, pari, obor-obor, serta serangga berbisa seperti labah-labah dan kala jengking," katanya.

Menurutnya Lembaga Muzium Negeri Terengganu menyasarkan 100,000 pengunjung melawat pameran berkenaan. -BERNAMA

Tiada ulasan: