Rabu, 20 November 2013

Penduduk setinggan terkejut NGO hulur bantuan

 
Perkampungan yang terletak hanya dua kilometer dari pusat bandar itu dikatakan mempunyai sekitar 200 penduduk. 




KOTA KINABALU : Lebih kurang 30 buah keluarga di sebuah kampung setinggan yang tidak bernama di pinggir bandaraya ini terkejut besar bila mendapati sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) datang melawat mereka dan menghadiahkan pelbagai bantuan termasuk beras dan pakaian semalam.

Perkampungan yang terletak hanya dua kilometer dari pusat bandar itu dikatakan mempunyai sekitar 200 penduduk, hampir semua bumiputera dari keturunan Dusun, Rungus dan Sungai, tidak menjangka I-Link Berhad, sebuah NGO baru di Sabah, memilih kampung mereka untuk menerima bantuan tersebut.

“Kampung” itu yang tersorok dari pandangan awam oleh pokok-pokok kayu terbiar terletak di atas sebuah bukit kecil di antara stesen minyak Shell di Jalan Kolam dan Sekolah Menengah St Francis Convent di sini.

Seorang penduduk yang hanya mahu dikenali sebagai Alisa berkata mereka terkejut melihat serombongan datang membawa pelbagai bungkusan dan kotak untuk diagih-agihkan kepada penduduk yang memang serba kekurangan keperluan asas.

“Kami amat gembira sekurang-kurangnya kami mendapat bantuan dari NGO. Terima kasihlah kami dapat beras, pakaian, minyak masak dan lain-lain, ” katanya.

Sementara itu pengerusi I-Link Berhad, pastor Daniel Chin, ketika dihubungi berkata NGO nya sudah aktif sejak dua tahun kebelakangan ini membantu keluarga miskin anak negeri Sabah serta kaum wanita dan orang tua yang memerlukan.

“Anggota sukarelawan kami menjalankan pelbagai kegiatan membantu masyarakat terutama anak negeri yang miskin seperti membahagikan beras, roti, tepung, buah-buahan, minyak masak dan pakaian.

“Semalam di kampung berkernaan ramai mereka itu datang tinggal di sini selepas mereka tiada lagi tanah di daerah masing-masing termasuk dari Ranau. Mendengar cerita mereka amat menyedihkan saya dan saya tidak terfikir ini boleh berlaku kepada seorang anak negeri (native) Sabah,” katanya.

Menurut beliau, sukarelawan I-Link datang dari pelbagai denominasi gereja dan mereka membantu siapa sahaja yang memerlukan mengikut kemampuan NGO ketika ini.

Sementara itu difahamkan penduduk “kampung” yang didakwa sudah wujud 30 tahun itu dikatakan telah diberi notis mengosongkan kawasan tersebut bagi tujuan pembinaan kompleks mahkamah tinggi yang baru.

Kampung tersebut hanya dihubungkan oleh jalan raya yang telah rosak dan dalam keadaan serba-serbi daif kerana langsung tidak mempunyai kemudahan asas seperti elektrik dan air terawat.

Penduduk di kampung berkenaan mendakwa ibu bapa mereka berhijrah ke bandar Kota Kinabalu pada 30 tahun yang lalu untuk bekerja dengan Jabatan Kerja Raya (JKR) dan
mereka telah dibenarkan untuk mendirikan rumah di kawasan tersebut pada ketika itu.

Ketika ditanya mengapa mereka memilih untuk tidak berpindah, mereka mengatakan tidak mampu membayar sewa rumah yang begitu membebankan. Kebanyakan kaum wanita di perkampungan ini akan keluar ke kawasan Luyang yang berdekatan untuk mencari bahan yang boleh dikitar semula untuk dijual bagi membantu meringankan beban suami mereka.

Selain menyampaikan sumbangan keperluan asas, wakil I-Link juga dikatakan berusaha berunding dengan agensi kerajaan bagi mendapatkan kediaman baru bagi keluarga di perkampungan ini.

Mereka yang ingin menyumbang menerusi NGO ini boleh menghubungi pastor Daniel pada talian 016 8300150 atau 016-8894090 (Ms Chun Fung/ Ms Bao Zhu).

Tiada ulasan: