ALOR SETAR - Seorang lagi pemimpin PR Kedah, Lee Guan Aik yang juga bekas Pengerusi DAP Kedah turut menjadi mangsa apabila nombor telefon bimbit miliknya, digodam pihak tertentu untuk menghantar mesej di luar pengetahuannya, seperti dialami beberapa pemimpin Pas Kedah sebelum ini.
Sejak malam Sabtu lalu, beliau menerima balasan khidmat pesanan ringkas (SMS) daripada lebih 40 penerima SMS yang tidak dikenali, yang berbentuk hasutan, marah dan maki hamun.
Berikutan itu, Guan Aik membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar, pagi semalam.
“Saya terima balasan SMS itu sejak malam Sabtu berterusan hingga 3 etang Ahad, saya terpaksa hubungi Maxis supaya menyekat talian saya buat sementara waktu. SMS yang saya terima itu antaranya menyentuh isu DAP Kedah,” katanya.
Menurutnya, beliau percaya penyebaran SMS itu ada kaitan dengan isu DAP Kedah yang dibangkitkannya kebelakangan ini, khususnya berkaitan rasa tidak puas hati terhadap penubuhan jawatankuasa interim DAP Kedah.
“Walaupun saya tidak menerima SMS berbaur ugutan namun, demi keselamatan diri dan keluarga, laporan polis dibuat. Saya percaya ada orang politik tertentu yang berniat jahat cuba merosakkan nama baik saya melalui SMS itu. Saya tidak tahu apa yang ditulis kerana tidak
mendapat SMS asal terbabit,” katanya.
Guan Aik berkata, tindakan itu tidak profesional selain tidak bermoral kerana ia berunsurkan fitnah.
“Saya mahu polis siasat siapa dalang di sebalik penyebaran SMS itu. Sebagai ahli politik yang masih setia dengan DAP, saya anggap ia suatu yang serius kerana boleh mengancam keselamatan diri,” katanya.
Beliau tidak menolak kemungkinan ia ada kaitan dengan tindakan beliau mempertahan kedudukannya sebagai Pengerusi DAP Kedah yang sah, walaupun Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) melantik Zairil Khir Johari Abdullah sebagai pengerusi baru jawatankuasa interim, Julai lalu.
“Saya adalah Pengerusi DAP Kedah yang sah mengikut perlembagaan parti kerana dipilih melalui Mesyuarat Agung Tahunan 2010. Malah saya sering tekankan masih sayangkan parti dan tidak berniat untuk merosakkan imej parti,” katanya.
“Saya hormati perlembagaan parti dan tetap bersama DAP. Malah ketika kempen PRK Dun Sungai Limau, saya dan ahli turun padang berkempen,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan