KUALA LUMPUR -[DIKEMASKINI] Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak masih tidak berani membuat kenyataan bagi menegur Amerika Syarikat (AS) berkaitan isu pengintipan.
Katanya, Malaysia sehingga kini hanya satu kenyataan dikeluarkan oleh Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman dan Perdana Menteri dilihat masih "mendiamkan diri".
"PM tak berani keluar kenyataan menegur kebiadaban keterlanjuran yang dilakukan oleh AS," katanya ketika membangkitkan isu pengintipan AS yang didakwa berlaku ke atas beberapa negara termasuk Malaysia pada sidang Dewan Rakyat, hari ini.
Memetik laporan The Malaysian Insider, bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mendakwa terdapat dua orang ejen agensi perisikan AS di Pejabat Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail.
"Kita masih menunggu penjelasan. Saya hairan kenapa isu ini tidak dibangkitkan hari ini terutama dari ahli Parlimen Umno.
"Jika bukan pegawai, apa tugas dua orang ejen CIA dalam Jabatan Peguam Negara?" katanya.
Dalam pada itu, Anwar turut memberikan contoh tindakan berani Presiden Brazil, Dilma Rousseff membatalkan lawatannya ke AS sebagai membantah berhubung dakwaan berlaku pengintipan di negara itu.
"Presiden Brazil sendiri telah membatalkan lawatannya ke AS termasuk pertemuan dengan Presiden Barack Obama," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan