Khamis, 14 November 2013

Muktamar PAS: Pilih calon yang berwibawa dan berani 'tegur' komponen Pakatan - Haron Din

 Oleh Syed Muaz Syed Putra
Post Pic



BANGI: Perwakilan pada Muktamar Tahunan PAS diingatkan agar memilih calon yang benar-benar berwibawa serta berintegriti selain berani bersuara 'menegur' komponen Pakatan Rakyat sekiranya dikritik menjelang pemilihan parti 22 November ini.

Menurut Timbalan Mursyidul Am PAS Datuk Dr Haron Din, pemimpin yang dipilih juga harus disenangi rakyat kerana parti itu akan menghadapi cabaran getir terutamanya daripada seteru politiknya.

Tegas beliau, PAS memerlukan pemimpin berwibawa untuk membina semula kekuatan parti dengan mendapatkan sokongan pelbagai bangsa sebagai persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

"Oleh itu saya mengharapkan kepimpinan baru yang patut dilihat kesemua perwakilan PAS adalah perlunya satu barisan kepimpinan pusat yang terdiri daripada presiden sehingga keseluruhan anggota yang boleh menangani dan mendepani persoalan-persoalan besar yang timbul terutama sekali oleh parti komponen.

"(Kepimpinan baru) kena berani, boleh buat keputusan, boleh menegur tapi asas yang besar selama-lamamya PAS mesti berada dalam keadaan diterima dalam kesemua lapisan masyarakat bukan sekelompok orang yang kecil sahaja.

"...mesti didokong oleh kesemua bangsa, apa cara pun masih banyak ruang yang boleh kita fikir. Soal Pakatan saya bersetuju dengan dasar Pakatan," katanya dalam temubual eksklusif di kediamannya di Bandar Baru Bangi.

Dianggarkan hampir 1,300 perwakilan dari seluruh negara akan menyertai muktamar kali ini dan menunaikan tanggungjawab sebagai pemilih bagi membentuk barisan kepimpinan baru Jawatankuasa Kerja PAS Pusat dan juga ketiga-tiga dewan Ulama, Pemuda serta Muslimat bagi sesi 2013-2015.

Muktamar Tahunan PAS ke-59 akan diadakan pada 22 November di Shah Alam nanti.

Kritikan secara terbuka jejaskan kerjasama Pakatan

Haron menambah sebagai gabungan dalam sebuah organisasi adalah tidak wajar apabila anggotanya mengkritik pihak yang lain secara terbuka melalui media termasuk dalam konteks Pakatan yang turut dianggotai PKR dan DAP.

Tegas ulama PAS ini, perkara tersebut akan menimbulkan rasa kurang senang dalam kalangan anggotanya yang akhir memberi kesan negatif terhadap kerjasama yang dijalinkan itu.

"Kalau sekiranya semakin hari semakin timbul keresahan pemimpin dan pengikut dengan adanya kritikan-kritikan dalaman terutamanya sekali bila parti A kritik parti B yang merupakan komponen secara terbuka dan umum.

"Kemudian parti B kritik parti C secara terbuka dan umum, itu adalah satu tindakan yang kurang sihat," katanya.

Justeru beliau menasihatkan agar perkara tersebut dihentikan dan segala masalah yang timbul harus diselesaikan secara dalaman dan bukan dihebahkan kepada pihak luar.

"Saya menyeru hal seperti ini hendaklah dihentikan dan diselesaikan secara dalaman, maksud saya apa yang tak puas hati dalam perjuangan bersama ini bukan akhbar (media) tempat meluahkan pandangan tapi dalam perjumpaan dalaman atau meja rundingan.

"Itu tempatnya untuk berhempas-pulas membuat keputusan, kalau tak boleh bekerjasama itu juga tempat buat keputusan," katanya.

PAS perlu jadi parti global dan alternatif kepada Umno-BN

Menyentuh corak kepimpinan PAS, Haron berkata ia perlu memenuhi kehendak semasa selain turut dilihat sebagai alternatif kepada parti pemerintah.

"PAS mesti memenuhi kehendak zaman, PAS perlu dilihat parti yang tidak perkauman, parti global dan akhirnya PAS hendaklah dapat dilihat sebuah alternatif politik Malaysia secara umumnya," katanya.

Namun tokoh perubatan Islam mengakui perubahan itu hanya boleh berlaku sekiranya jawatan nombor satu berlaku pertandingan.

"Untuk itu corak kepimpinan yang akan kita lihat terutama sekali kita akan berhadapan dengan satu keputusan perubahan puncak kepimpinan sehingga sampai ke peringkat adanya penentangan dalam pucuk pimpinan iaitu presiden ada pertandingan.

"...yang mana ketika itu kita akan nampak hala tuju yang mungkin ada dua, satu orang yang akan sokong kepimpinan ulama dan satu lagi melihat perlunya ulama ini dicutikan atau direhatkan kejap untuk beri peluang kepada pihak satu lagi," katanya lagi.

Tambah Haron, perubahan itu tidak akan berlaku kali ini memandangkan jawatan Presiden PAS kekal milik Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang mula menerajui parti pada 2002.

"Kalau itu ada (berlaku), saya nampak perlu kepada corak baru, perancangan baru untuk bawa PAS ke hadapan.

"Tapi tidak berlaku (perubahan) kali ini kerana pucuk pimpinan iaitu presiden tidak berubah maka dengan sendiri orang nampak umumnya PAS tidak banyak akan berubah sebab pemimpin besar tidak berubah begitu juga pimpinan di bawahnya.

"Yang kedua sesuatu yang boleh kita lihat atas nama keperluan semasa akan bergantung pula pada keadaan orang yang kita bekerjasama," katanya.

Tiada ulasan: