Selasa, 12 November 2013

Maria Chin pimpin Bersih 2.0 mulai 30 Nov

MALAYSIA CHRONICLE




KUALA LUMPUR - Badan penggerak bagi menuntut pilihan raya bersih dan adil, Bersih 2.0 bakal dipimpin aktivis Maria Chin Abdullah bermula 30 November ini berikutan tiada sebarang pencalonan lain bagi mengisi jawatan pengerusi badan penggerak itu.

Menurut Jawatankuasa Pemandu Pemilihan Bersih 2.0, Stanley Yong, pencalonan ke atas Maria dilakukan Pengerusi Bersih 2.0 sekarang iaitu Datuk S. Ambiga.

Bercakap pada satu sidang media di Dewan Perhimpunan Cina, hari ini, Stanley berkata borang pencalonan telah dihantar pada 23 Oktober lalu, sebelum tempoh pencalonan ditutup pada 8 November.

Selain jawatan pengerusi, dua calon akan bertanding bagi kerusi naib presiden, iaitu penyandang, Dr. Ahmad Farouk Musa, dan aktivis anti-ISA, Syed Ibrahim Syed Noh.

Manakala, bagi jawatan bendahari, penyandang jawatan tersebut, Nahar Md Nor akan berentap dengan Masjaliza Hamzah dari CIJ.

Pemilihan itu juga akan memilih dua daripada lima calon bagi mengisi kerusi Jawatankuasa Pemandu iaitu K. Arumugam, Ng Chak Ngoon, Farhana Halim, Hishamuddin Rais dan New Sin Yew.

Dengan pengumuman senarai calon- calon ini, Stanley turut mengumumkan tempoh berkempen bagi pemilihan kali ini dibuka sekarang.

Bagaimanapun, beliau menambah kempen tersebut akan berakhir pada tengah malam, 29 November akan datang.

Kepimpinan Bersih yang akan dipilih pada 30 November ini kan berkhidmat dalam tempoh dua tahun.



Tiada ulasan: