Jumaat, 22 November 2013

Ketua Pembangkang DNS gagal patuhi arahan

Oleh : Lizawati Madfa


SHAH ALAM  : Kegagalan Ketua Pembangkang, Datuk Mohd Shamsudin Lias (BN-Sungai Burong) mematuhi arahan sewaktu perbahasan berlangsung di Dewan Negeri Selangor (DNS) mencemari budaya perbahasan yang sihat dan adil.

nik nazmi

Timbalan Speaker DNS, Nik Nazmi Nik Ahmad, berkata beliau sentiasa  memberikan ruang secukupnya kepada setiap Adun, sama ada daripada parti pemerintah (PR) mahupun parti pembangkang (BN) untuk berbahas.

Ujarnya, tindakan Shamsudin itu juga bertentangan dengan kata- katanya sendiri pada awal persidangan dewan yang berterima kasih kepada Speaker DNS atas peluang perbahasan yang adil.

“Selaku Timbalan Speaker, saya kesal perkara seperti ini boleh berlaku tetapi saya tidak mempunyai pilihan lain lagi.

“Menjadi hasrat kami (Speaker dan Timbalan Speaker) untuk mempromosikan budaya perbahasan yang berkualiti secara adil kepada adun-adun namun tindakan Sungai Burong mendesak saya
mengarahkan dia keluar dewan,” kata Nik Nazmi.

Beliau berkata demikian dalam satu sidang media di DNS bagi mengulas tindakannya mengarahkan Shamsudin keluar dewan ketika perbahasan Adun Kota Damansara, Halimaton Saadiah Bohan (BN)
sedang berlangsung.

Speaker DNS, Hannah Yeoh yang turut hadir dalam sidang media sama menyatakan sokongan ke atas tindakan tegas Nik Nazmi itu.

“Setakat ini, 12 orang Adun PR sudah menamatkan sesi perbahasan sementara BN pula seramai tujuh orang, bukankah ini sesuatu yang bagus.

“Jadi, saya ingin juga menasihati setiap Adun untuk menggunakan ruang dengan sebaik-baiknya dengan membawa isu-isu baru, tanpa perlu mengulangi isu lama atau yang sudah dijawab sebelum ini,” kata Hannah (DAP-Subang Jaya).

Nik Nazmi memutuskan mengarahkan Shamsudin keluar dewan selaras dengan Peraturan Tetap 44 (2) berikutan tindakan Adun Sungai Burong itu yang tidak menghormati kuasa speaker dan enggan duduk meskipun diarah berulang kali.

Insiden bermula apabila Halimaton Saadiah Bohan (BN-Kota Damansara) mahu membangkitkan isu kenaikan sewa flat projek perumahan rakyat (PPR) oleh kerajaan negeri yang bermula ‘seawal
Jun 2013′.

Pihak Kerajaan kemudiannya membangkitkan Peraturan Tetap 36(6) bahawa kenyataan itu adalah sangkaan jahat dan meminta ia ditarik balik.

Apabila kenyataan itu enggan ditarik balik, Shamsudin kemudian cuba bangun untuk mempertahankan tindakan Kota Damansara tanpa merujuk mana-mana peraturan tetap.-EZY

Tiada ulasan: