Rabu, 13 November 2013

Joemar Pula Sedang Dicari Polis, Pegang Duit Rompakan RM400K

Polis buru rakan tembak pegawai Ambank

KELAB GREENBOC



KUALA LUMPUR - Susulan penangkapan suspek utama dalam kes rompakan dan bunuh di Ambank cawangan Subang Jaya, polis kini memburu rakan jenayahnya dikenali sebagai 'Joemar' yang disyaki menyimpan sebahagian besar hasil rompakan itu.

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata ,Joemar yang dipercayai warga Indonesia juga bersubahat merancang rompakan dengan suspek utama.

"Joemar bukan pengawal keselamatan dan dia diburu bagi mengesan semula wang rompakan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Pencegahan Jenayah dari Perspektif Islam, di Maktab Polis Diraja Malaysia di sini hari ini.

Khalid juga berkata, polis sudah mengenali identiti sebenar suspek utama itu dan mengesahkan lelaki berusia 35 tahun tersebut berasal dari Sulawesi, Indonesia.

Suspek sebelum ini menggunakan nama dan kad pengenalan palsu untuk bekerja sebagai pengawal keselamatan dengan sebuah syarikat kawalan keselamatan di ibu negara.

Lelaki itu diberkas oleh polis kira-kira pukul 7 pagi semalam di Kampung Belungkor, Kota Tinggi, Johor selepas diburu sejak 23 Okt lalu.

Mengulas tangkapan lelaki itu, Khalid berkata polis tidak menemui wang rompakan pada suspek.

"Ini bermakna, kita hanya menemui hasil rompakan berjumlah RM20,000 yang ditemui bersama tiga ahli keluarga suspek sebelum ini. Kita juga sedang mengesan senjata api yang digunakan suspek dalam kejadian itu," katanya.

Hasil siasatan awal, suspek mengaku menggunakan kad pengenalan palsu yang dibeli daripada seorang lelaki Indonesia di Malaysia, katanya.

"Kita juga sedang menjalankan siasatan berhubung penjualan kad pengenalan palsu ini termasuk harga yang ditawarkan walaupun kad pengenalan palsu ini tidak boleh diakses oleh peranti biometrik," katanya.

Sehingga semalam, polis menahan 12 orang termasuk suspek utama berhubung kes itu.

Dalam kejadian rompakan itu, Norazita Abu Talib, 37, maut ditembak oleh suspek ketika mangsa membuka peti besi di dalam bilik kebal bank tersebut.

Mangsa yang berkerja 16 tahun dengan bank itu, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala setelah ditembak dengan 'pump gun' oleh suspek yang kemudiannya melarikan diri dengan hasil rompakan berjumlah RM450,000.

Dalam perkembangan lain, Khalid berkata Bangsar antara kawasan yang dikenal pasti akan dipasang dengan kamera litar tertutup (CCTV) dan peruntukan telah disediakan dalam Bajet 2014.

"Ini memandangkan Bangsar ketika ini merupakan kawasan tumpuan dan penjenayah memang mengambil kesempatan di kawasan seperti ini dan kita turut meningkatkan kehadiran polis di kawasan ini," katanya. - Bernama 


LIHAT VIDEO DI SINI



Tiada ulasan: