Jumaat, 8 November 2013

Jamil Khir Berdusta Lagi... Kebetulan... Katanya...


PAS cabar BN adakan jualan murah di tempat lain

KELAB GREENBOC



PETALING JAYA: Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu hari ini mencabar Barisan Nasional (BN) untuk mengadakan jualan murah untuk gula dan beras di kawasan-kawasan berpenduduk miskin yang lain.

Mohamad ataupun lebih popular dengan panggilan Mat Sabu, apabila dihubungi oleh FMT hari ini ternyata berang dengan kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Jamil Khir Baharom yang berkata jualan murah kedua-dua barangan asas itu dalam tempoh kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Limau sebagai kebetulan.

“Mana boleh kebetulan… Kalau kata kebetulan pi la buat (jualan murah) kat kawasan-kawasan lain sama,” katanya dalam perbualan telefon.

Beliau menambah, terdapat lagi kawasan yang boleh mendapat manfaat dari jualan murah anjuran BN itu, bukan hanya di dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Limau sahaja.

“Pi buat kat kawasan-kawasan lain (juga), jangan buat kat kawasan ada PRK saja. Kat Baling sana pun ada orang susah, pi buat kat sana,” cabarnya lagi, sambil menyifatkan kenyataan Jamil ini sebagai satu penafian yang boleh ditertawakan.

Jamil, yang juga merupakan Ketua Umno Bahagian Jerai berkata pembangkang menggunakan isu jualan murah barangan asas itu sebagai modal untuk memburukkan BN.

Dilaporkan, harga gula seberat satu kilogram yang biasanya berharga RM2.84 di pasaran dijual dengan harga RM1 dalam jualan murah tersebut manakala sekampit beras seberat lima kilogram pula dijual dengan harga RM5, jauh lebih murah dari harga pasaran iaitu RM13.

Pakatan Rakyat (PR) menyelar perbuatan BN ini dan menyamakannya sebagai satu bentuk rasuah kepada pengundi.

Bagaimanapun, pandangan itu ditolak oleh Suruhanjaya Pilihan Raya -FMT


Pesanan Untuk Jamil Khir - "Jadi Pemimpin Agama Janganlah Berbohong"


Ketika kempen pilihanraya kecil Sungai Limau yang baru saja berlalu, perkara paling menarik yang dilakukan oleh BN dalam usaha memenangi kerusi itu ialah dengan mengadakan karnival jualan murah di mana gula hanya dijual RM1 sekilo manakala sekampit beras 5 kilo pula dijual dengan harga RM5 sahaja.

Harga pasaran gula setelah dimansuhkan subsidinya ialah RM2.84 sekilo manakala sekampit beras 5 kilo pula ialah RM13.

Menariknya jualan murah itu ialah kerana ketika pembentangan Bajet 2014, Najib mengumumkan pemansuhan subsidi gula ialah bertujuan mengurangkan pengidap penyakit kencing manis di kalangan rakyat yang dianggap tinggi ketika ini. Malangnya kerana kepentingan kerusi dan kuasa, BN jadi tunggang-langgang dan sanggup mengadakan jualan murah seolah-olah menggalakkan rakyat memakan lebih banyak gula daripada biasa.

Walaupun karnival jualan murah itu kemudiannya dihalalkan oleh SPR dengan mengatakan ia tidak sama-sekali berunsur rasuah kerana pembeli tidak dipaksa untuk mengundi calon tertentu, tetapi akal yang waras tidaklah sukar memahami apa yang tersirat di sebalik yang tersurat daripada jualan murah gula dan beras itu.

Lagi pula, karnival itu diadakan untuk menyokong calon BN dan sudah pasti terdapat poster dacing serta gambar calon BN di sekitarnya. Tanpa disebut atau disuruh memangkah calon BN pun, pembeli sudah pasti tahu bahawa siapa yang mereka rasa terhutang budi kerana mengadakan jualan murah beras dan gula itu.

Meskipun mungkin ada pembeli yang rasa tidak terikat untuk mengundi calon BN apabila membeli gula dan beras murah itu, bilangannya tentulah sangat kecil. Kebanyakannya akan membalas budi dengan undi, lebih-lebih lagi orang Melayu memang terkenal dengan sikap mengenang budi dan membalas budi.

Golongan yang tidak mahu terikat dengan budi, biasanya tidak akan singgah membeli gula dan beras murah itu. Mereka lebih rela membeli beras dan gula dengan harga biasa daripada sanggup menebalkan muka membeli barangan murah itu dan kemudian rasa terhutang budi pula sambil menambahkan pula kencing manis di kalangan ahli keluarga.

Apabila SPR mengeluarkan kenyataan yang jelas memperlihatkan kecondongannya kepada BN, ia sebenarnya hanya menambahkan lagi persepsi gelap rakyat terhadap badan yang sepatutnya bebas itu dalam mengendalikan pilihanraya. SPR seharusnya lebih bijaksana, sesuai dengan kebijaksanaan rakyat yang semakin meningkat sekarang ini.

Hari ini pula, Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang bertanggungjawab dalam hal ehwal agama, Jamil Khir Baharom mengatakan, jualan murah gula dan beras di Sungai Limau tempohari bukanlah kerana adanya pilihanraya dan ia hanya kebetulan saja diadakan ketika kempen pilihanraya.

Kata beliau lagi, "jualan murah ini ada di mana-mana, di pasaraya juga selalu ada jualah murah, jadi apa yang nak dihairankan, hanya kebetulan saja jualan murah itu diadakan ketika kempen pilihanraya Sungai Limau".

Wah, wah...cantik sekali hujah politik orang agama dalam menegakkan benang basah! Kenapa perlu berbohong dan bukankah berbohong itu dilarang oleh agama? Sebagai pemimpin yang tahu agama, tahu halal haram, hukum berbohong itu bukankah lebih besar dosanya?

Kenapa susah sangat Jamil Khir mengaku bahawa jualan murah itu memang sebahagian daripada acara kempen pilihanraya BN? Mengaku sahajalah, kalau memang itu hakikatnya.

Memang benar jualan murah ada di mana-mana dan pasarara juga kerap melakukannya tetapi belum pernah rasanya gula dan beras turut dijual murah. Biasanya jualan murah di kampung-kampung dan di mana saja hanya melibatkan pakaian, barangan plastik, pinggan mangkuk dan sebagainya. Sejak lebih 56 tahun merdeka,belum pernah ada jualan murah gula dan beras kecuali di Sungai Limau.

Murahnya pula bukan kepalang. Gula hanya dijual RM1 sedangkan harga biasanya RM2.84 manakala beras pula hanya RM5 sedangkan harga biasanya RM13. Sudah tentu kalau bukan kerana pilihanraya dan maksud membeli undi, tiada siapa sanggup menjual harga semurah itu.

Siapa pun akan mengatakan karnival jualan murah gula dan beras itu adalah kerana kempen pilihanraya. Tidak ada maksud lain daripada itu kerana tidak ada peniada yang sanggup rugi. Kalau betul bukan kerana pilihanraya, buatlah karnival jualan murah yang serupa di tempat lain juga.

Kepada Jamil Khir, jadilah pemimpin agama yang baik dan janganlah berbohong. Lebih nampak hodohnya kalau pemimpin agama pun sudah pandai berbohong. Kerja-kerja bohong ini biarlah dilakukan oleh pemimpin-pemimpin lain dalam UMNO.

-shahbudindotcom

ULASAN GB

Sekali berdusta, akan setiap kali berdusta lagi.

Inilah "penyakit" yang dihidap oleh Menteri Agama, Datuk Jamil Khir Baharom.

Semasa PRK Sungai Limau, beliau berdusta dan menipu kononnya 351 ahli UMNO sertai PAS

Kini beliau menyatakan jualan murah semasa PRK Sungai Limau hanya satu kebetulan!

Kalau bukan kebetulan,, pertama, lakukan jualan murah yang sama di tempat lain seperti disebut oleh Timbalan Presiden PAS.

Yang kedua, jika kebetulan, mengapa tiada jualan murah selepas PRK?

Apakah belum sampai kepada Menteri Agama di JPM itu hadith-hadith berikut?

Yang pertama:

“Tanda orang munafik ada tiga: apabila dia berkata dia berdusta, apabila berjanji mengingkari, dan apabila diberi amanat berkhianat.” (Muttafaq ‘Alaih)

Kedua, di dalam hadith Samurah bin Jundab yang sangat panjang, dijelaskan akibat yang akan ditanggung oleh pendusta yang kebohongannya sudah sampai ke ufuk. Rasulullah Shallallahu 'Alaihi Wasallam menceritakan apa yang beliau temui dalam mimpinya:

فَانْطَلَقْنَا فَأَتَيْنَا عَلَى رَجُلٍ مُسْتَلْقٍ لِقَفَاهُ، وَإِذَا آخَرُ قَائِمٌ عَلَيْهِ بِكَلُّوِبٍ مِنْ حَدِيْدٍ، وَإِذَا هُوَ يَأْتِي أَحَدَ شِقَّيْ وَجْهِهِ فَيُشَرْشِرُ شِدْقَهُ إِلَى قَفَاهُ، وَمِنْخَرَهُ إِلَى قَفَاهُ، وَعَيْنَهُ إِلَى قَفَاهُ. (قَالَ : وَرُبَّمَا قَالَ أبو رَجَاء: فَيَشُقُّ). قَالَ: ثُمَّ يَتَحَوَّلُ إِلَى الْجَانِبِ الآخَرِ فَيَفْعَلُ بِهِ مِثْلَ مَا فَعَلَ بالجَانِبِ الأَوَّلِ، فَمَا يَفْرُغُ مِنْ ذَلِكَ الْجَانِبِ حَتَّى يَصِحَّ ذَلِكَ الْجَانِبُ كَمَا كَانَ، ثُمَّ يَعُوْدُ عَلَيْهِ فَيَفْعَلَ مِثْلَ مَا فَعَلَ الْمَرَّةَ الأُوْلَى. قَالَ: قُلْتُ لَهُمَا : سُبْحَانَ الله، مَا هَذَانِ؟ قَالَ: قَالاَ لِي : اِنْطَلِقْ اِنْطَلِقْ.

“Kemudian kami berangkat lagi mendatangi orang yang terlentang pada tengkuknya. Ternyata ada orang lain yang berdiri di atasnya sambil membawa kait (yang dibuat) dari besi. Tiba-tiba ia datangi sebelah wajah orang yang terlentang itu, lalu ia robek (dengan kait besi tersebut) mulai dari sebelah mulutnya hingga tengkuknya, mulai dari lubang hidungnya hingga tengkuknya, dan mulai dari matanya hingga tengkuknya. Rasulullah Shallallahu 'Alaihi Wasallam kemudian bersabda: “Selanjutnya orang itu berpindah ke sebelah wajah lainnya dari orang yang terlentang tersebut dan melakukan seperti yang dilakukannya pada sisi wajah yang satunya. Belum selesai ia berbuat terhadap sisi wajah yang lain itu, sisi wajah pertama sudah sehat kembali seperti sedia kala. Maka ia mengulangi perbuatannya, ia lakukan seperti yang dilakukannya pada kali pertama.”

Di penghujung hadith dijelaskan dosa yang diperbuat oleh laki-laki tadi, “Sesungguhnya laki-laki itu setiap keluar dari rumahnya ia berdusta (berbohong) yang kebohongannya sampai ke kaki-kaki langit (tersebar ke mana-mana,-terj)” (HR. Al-Bukhari) dalam riwayat lain, “Ia disiksa demikian hingga tiba hari kiamat.”

Tiada ulasan: