Muhamad Faizal | Foto: Bashir, |
JERAI: PAS menyeru para pengundi di Dun Sungai Limau agar tidak mempercayai khidmat pesanan ringkas (SMS) palsu yang sedang disebar kononnya tidak perlu keluar mengundi esok kerana calon PAS sudah menang.
Pengarah Jawatankuasa Induk PRK Sungai Limau, Datuk Mahfuz Omar berkata, para pengundi diminta tidak mengendahkan sms itu dan perlu keluar beramai-ramai mengundi esok.
"Saya merayu dan menyeru, agar semua pengundi keluar mengundi esok. Ketepikan dakyah sms yang disebarkan itu," katanya pada sidang media PAS di Markaz Induk hari ini.
Beliau mengulas sms yang sedang tersebar yang meminta pengundi agar tidak keluar mengundi kononnya kerana calon PAS, Ustaz Mohd Azam Abd Samat sudah menang.
Sms itu juga turut menawarkan bayaran RM200 hingga RM300 kepada pengundi supaya mereka tidak keluar mengundi.
Selain itu kata Mahfuz, sms tersebut juga dikesan disebar kepada pengundi luar agar tidak pulang mengundi esok dengan alasan sama iaitu kononnya Ustaz Azam sudah menang.
"Bagi saya ini satu tindakan terdesak. Balik mengundi Ustaz Azam untuk Ustaz Azizan, kita kekalkan keharmonian yang ada sebelum ini bersama wakil yang baru dengan perwatakan yang menarik.
"Masih ada masa lagi untuk merancang pulang untuk mengundi esok. Kemenangan PAS bergantung kepada anda semua," katanya.
Firdaus mangsa terbaru
Sementara itu, satu lagi sms fitnah menggunakan nama bekas Ahli Parlimen Jerai, Mohd Firdaus Jaafar turut tersebar.
Sms itu antara lain meminta para pengundi mengambil bayaran RM120 seorang di markaz PAS sebelum pengundian esok.
"Saya menafikan sekeras-kerasnya sms berkenaan. Ia bukan dari saya," katanya sambil menambah akan membuat laporan polis selepas ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan