Dr Dzulkefly Ahmad, |
|
Untuk pengetahuan umum, RTD anjuran ASLI berjodol “Kelestarian Fiskal dan Impak ke atas Sektor Korporat’ dan Forum UM atas tajuk Analisis Budget 2014. Panelis Forum MU pula terdiri dari Tan Sri Dr Kamal Saleh, Dr Nungsari dan Professor Rajah Rahsiah dan saya sendiri dan sebahagian besar yang hadir terdiri dari penuntut Fakulti Ekonomi dan ada dari UPM dan USIM.
RTD ASLI pula dikemudikan oleh Tan Sri Dr Navaratnam dan pendiskusi terdiri dari Dr Chen Chaw Min mewakili Kementerian Kewangan, Professor Dr Rajah Rahsia dari UM, Mr Khoo Chuan Keat dari Pricewaterhouse Coopers (PwC Malaysia) dan Mr Stewart James Forbes, Pengarah Eksekutif dari Malaysia International Chamber of Commerce & Industry (MICCI).
Saya mulakan dengan menegas kesimpulan bahawa keseluruhan Bajet Najib ini saya sifatkan sebagai Budget yang tidak punya visi atau wawasan. Budget ini hanya punya Matlamat. Keyakinan awal saya lebih mendalam lagi ketika panelis Forum di UM mengongsi rumusan dan kecenderungan yang sama.
Terdahulu dari pengumuman Bajet oleh Najib pada 25hb Oktober lalu, saya telah menulis dua makalah tentang ‘langkah-langkah menyejukkan pasaran hartanah’ dan kedua ‘bagaimana GST bakal menyusahkan rakyat’. Terbukti sebahagian besar syor saya dalam makalah pertama kini menjadi polisi kerajaan dalam Bajet Najib. Saya masih mahu membuktikan kebenaran makalah kedua saya tentang GST,
Panelis semacam sepakat dalam Forum UM bahawa Belanjawan ini tidak punya satu kerangka pemikiran yang ‘jelas dan tegas’ dari sisi pandang strategik pembangunan bagi mencapai status Negara maju pada tahun 2020.
Sebaliknya ‘pendewaan’ terhadap angka pertumbuhan terus menjadi pegangan kerajaan Umno-BN untuk kesekian lamanya. Budget ini menyerlahkan penerusan anutan fahaman tersebut.
Selainnya Budget 2014 ini hanya ‘memperbanyak kerja yang sama’ atau lebih sinis ‘more of the same’.
Namun di segi metodologi untuk mencapai sesuatu Visi tidak menampakkan kejelasan, bahkan ketidaktentuan, samar dan terkadangkali penuh kontradiksi.
Ternyata, di sebaliknya segala pengenalan akronim barunya Model Ekonomi Baru (NEM), ETP dan EPP, pakar-pakar ekonomi seperti Tan Sri Dr Kamal Saleh, Professor Industri Ekonomi termasuk Professor Jomo Sundram dan ramai yang lain masih gusar memerhatikan bersimpang-siurnya trajektori pembangunan ke arah cita-cita negara maju pada 2020 nanti.
Lebih tepat lagi adalah seluruh Belanjawaan, sebagai alat fiskal jangka pendek, dicerakin bagi mengatasi kepincangan tadbir-urus kewangan Negara, 16 tahun berturut-turut.
Dengan lain perkataan, Belanjawaan ini dirangka, seperti dijelaskan PM Najib sendiri, adalah bagi mengurangkan defisit fiskal negara ke paras 3.5 Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sementara berusaha mengekalkan pertumbuhan yang munasabah di antara 4-4.5%.
Belanjawaan ini adalah untuk mempastikan bahawa kerajaan Pusat tidak akan terus menambah hutangnya dengan memperkenalkan sumber pendapatan baru yakni dari segi pengenalan ‘Cukai Barangan dan Perkhidmatan atau GST’.
Bagi mencapai matlamat itu, Najib pertegaskan tentang komitmen mereka untuk mengurangkan seterusnya menamatkan pemberian subsidi dalam frasa ‘rasionalisasi subsidi’. Penarikan subsidi gula sebanyak 34 sen sekilo disiytiharkan terus dan berkuatkuasanya keesokan harinya 26hb Oktober.
Subsidi dicerca supaya dipandang jelek. Subsidi dihubungkaitkan dengan segala yang membawa keburukan termasuk ‘mengherot pasaran’, ketidakefisienan, penyeludupan, dan pembaziran. Namun Najib sepi apabila subsidi diberikan kepada krooni,contohnya, pihak Penjana Tenaga Bebas (IPP). Tidak pula ditonjolkan tentang subsidi kepada kroni yang lain seperti yang disebut dengan istilah insentif, geran dan juga atas nama pelepasan cukai atau ‘tax-brake’ kepada entiti-entiti perniagaan.
Penulisan ini mengingatkan Najib dan kerajaan Umno-BN bahawa jangan memangsakan rakyat ketika hutang Negara sudah mencecah RM543.3 bilion bersamaan dengan 54.8% KDNK. Rakyat tidak ada campurtangan dalam membuat hutang sebesar ini. Umno dan mutakhir ini Najiblah yang mesti dipersalahkan.
Sejak 2009, ketika mengambil alih pimpinan Negara, Najib memohon Penambahan Perbelanjaan (Supplementaray Budget) sebayak RM20 bilion setahun! 75% dari itu adalah perbelanjaan mengurus (OPEX).
Terdahulu dari tahun 2000, hanya RM5 bilion sahaja sebagai perbelanjaan tambahan. Antara 1995-1999, kerajaan berbelanja kurang dari pendapatan yakni Budget Berlebihan (Surplus) atau Berimbang (Balanced).
Saya ingatkan PM Najib selagi habit atau tabiat buruk ‘ketagihan’ memohon Belanjawaan Tambahan ini tidak boleh dibenteras dan diatasi, lebih jelek lagi ‘berbelanja dahulu dan pohon kemudian’, maka Najib hanya boleh beretorika dengan slogan ‘kemampanan fiskal’ atau ‘fiscal sustanaibility’.
Hakikatnya, kesemuanya adalah cakap kosong sahaja. Cita-cita untuk mendapatkan Belanjawan Berimbang pada tahun 2020 adalah impian semata-mata. Buktikan kami salah!
Bagi mengatasi kemelut hutang, Najib sangat berhajat kepada satu sistem cukai yang bersifat ‘broad-based’ dan membawa pulangan yang lebih lumayan. GST, pada sifatnya yang berteraskan ‘multi-peringkat’ dan melibatkan satu senarai barangan dan perkhidmatan yang jauh lebih panjang dan merangkumi, pasti akan mendatangkan hasil yang lebih lumayan dari system Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST).
Pada permulaan kadar 6% GST, kerajaan berharap akan dapat pungutan cukai antara RM10-12 bilion. Persoalan besar yang Najib perlu jawab dahulu ialah ‘Apakah wajar kerajaan mengenakan Cukai pada golongan berpendapatan rendah sama seperti golongan berpendapatan tinggi?
Meskipun hujjah balasnya ialah ‘Siapa guna dia bayar’ namun GST jelasnya meninggalkan kesan yang Tidak Adil atau Inequitable bahkan sebaliknya “Regresif’ atau Songsang.
Akhirnya kerajaan tidak menggunakan sistem Cukai untuk melakukan ‘Pengagihan semula kekayaan’ (Redistribution of Income-Wealth) akan tetapi sebaliknya menggunakan Cukai untuk ‘Memangsakan Rakyat Berpendapatan Rendah’. Mekipun boleh ditampung dengan BRIM dan sebagainya, saya minta PM Najib terangkan betapa impak dan dampak kewangan ke atas rakyta teramai. Buktikan kami salah sekali lagi!
Mengapakah Najib sunyi sepi tentang pengenalan ‘Cukai Keuntungan Kapital atau Capital Gain Tax’ khasnya keuntungan dalam pelaburun kewangan seperti Saham atau Ekuiti dan juga Bon.
Dari hanya memandang kepada rakyat teramai yang sudah pun terbeban dengan kos saraan hidup yang tinggi, gaji yang telah lama beku dan nilai ringgit yang terumbang- ambing, mengapa Najib bisu tentang mendapatkan pendapatan dari mereka yang membuat keuntungan jutaan ringgit dalam transkasi jual-beli saham dan pelaburan kewangan lain?
Apakah alasan beliau hanya kerana untuk menjadi Bursa kita berdaya-saing. Kita kehilangan billion RM setahun kerana tidak mengenakan cukai keuntungan ‘Capital’ ini!
Belanjawaan Najib gagal menyerlahkan cara bagaimana Negara ini mahu memacu ‘ekonomi berpendapatan tinggi’ sekaligus melonjakkan rakyat supaya mencapai pendapatan per kapita RM46, 500 atau USD 15,000 setahun.
Najib wajar diigatkan bahawa sekadar mengulangi apa yang dicapai oleh Tun Mahathir di segi mencapai petumbuhan 9% untuk selama satu dekad dalam 90an tidak mendatangkan apa-apa kesan limpahan atau ‘trickling-down effect’ kepada rakyat teramai.
Bahkan akibat dari pacuan ‘menggila’ seperti itulah fenomena ‘ekonomi meruap’ atau ‘over-heating economy’ dan pelbagai ‘bubble’ termasuk belon-hartanah. Kesemua meletop dan terdedah semasa ‘Krisis Kewanagan Asean 1997’.
Bersekali dengan kesemua itu adalah pelebaran kesenjangan atau jurang kaya-miskin yang terus melebar samada di antara kaum dan dalam sesebuah kaum etnik. Paling parah adalah kaum Melayu. Kesemua adalah akibat Model Pembangunan yang Pincang dan Tempang.
Pembangunan yang jelasnya tidak melahirkan sebuah “Socially Just Development” atau “Pembangunan Sosial yang Adil”. Perhatikan ‘Pekali Gini’ yang semakin melebar adalah cukup untuk mengesahkan betapa target seperti ‘ “Pendapatan Per Kapita” adalah sangat tidak tepat sebagai kayu ukor berbanding dengan ‘Pendapatan Ahli Isi-Rumah’ atau “Member Household Income”.
Lebih kritikal dari itu adalah model pacuan Pembangunan bagi mencapai “Negara Maju dengan pendapatan yang disasarkan”. Meskipun falsafah itu masih boleh penulis pertikaikan, namun berdasarkan model pembangunan yang dikehendakki sendiri oleh Najib-BN itu masih banyak yang boleh dibahaskan dan dihujjahkan kelestarian dan kemunasabahannya.
Bayangkan Korea Selatan yang dalam tahun 70an memiliki pendapatan per kapita setengah dari rakyat di negara ini, kini mempunyai 4 kali ganda pendapatan per kapita dari rakyat Malaysia.
Apakah kehebatan mereka atau apakah kesilapan kita? Mengapakah model pembangunan mereka yang tidak bercakap memperaga MultiMedia Super-Corridor serta pelbagai Flagships dan K-economy serta K-pekerja seperti Malaysia tetapi melahirkan gergasi seperti Samsung dan Hyundai dan banyak lagi?
Kita sebaliknya hanya memilikki industry-industri dan IKS yang berteraskan Nilai-Tambah yang rendah. Mengapakah mereka mampu mencapai ‘Total Factor Productivity – TFP” pekerja yang sangat tinggi sementara kita jauh ketinggalan? Mengapa mereka mampu mencapai nilai “Keberkesanan Output Pelaburan Kapital “ atau nilai ICOR mereka yang berkesan, sementara kita tergendala dengan pelbagai kebejatan ketirisan dan budaya dan ‘delivery’ kerja yang sangat tidak efisen?
Kesemua ini dan banyak lagi perkara-perkara struktiral dan ‘asas’ sebenarnya menantikan jawapan oleh PM Najib! Nyata bahawa belanjawan ini digubal dengan ‘Matlamat’ mengelakkan kemelut Hutang terus membengkak dan mengurangkan Defisit Fiskal yang sangat menekan Najib dan kerajaan BN.
Sekali saya katakan inilah Belanjawan yang tidak punya Visi pembangunan, hanya punya Matlamat!
(*) Dr Dzulkefly Ahmad, Pengarah Ekeskutif Pusat Penyelidikan PAS Pusat.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan