Sabtu, 23 November 2013

Bajet paling tinggi dalam sejarah Selangor diluluskan

 
Kerajaan negeri adalah bank milik rakyat, oleh itu kita perlu buktikan kepada rakyat bahawa harta mereka tidak disalahgunakan.




SHAH ALAM: Bajet Selangor 2014 yang bernilai RM1.8 bilion, paling tinggi dalam sejarah negeri sejak tahun 1998, diluluskan sebentar tadi setelah dibahas selama empat hari dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor.

Speaker Dewan Hannah Yeoh meluluskan bajet tersebut setelah Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim selesai menggulungkan hujahnya.

Bajet yang bertema ‘Belanjawan Berhemat dan Berimpak Tinggi, Maslahat Rakyat’ itu turut melibatkan sejumlah RM430 juta daripada kesuluruhan RM2.7 bilion rizab negeri bagi tujuan pembangunan.

Dalam ucapan penggulungannya itu, Abdul Khalid berkata kerajaan negeri mempraktikkan pendekatan ‘terlalu korporat’ dan ketat dalam urusan kewangan negeri.

“Kerajaan negeri adalah bank milik rakyat, oleh itu kita perlu buktikan kepada rakyat bahawa harta mereka tidak disalahgunakan.

“Amalan bajet berimbang yang diamalkan di Selangor adalah asas bagi menentukan pembangunan negeri ini berterusan,” katanya.

Ketika ditemui diluar DUN, Abdul Khalid mendedahkan beliau akan membentangkan kertas kerja untuk menaikkan gaji dan elaun ADUN Selangor pada minggu depan.

“Ini kerana bebanan kerja di Selangor agak berat dan kerajaan negeri juga berkemampuan untuk berbuat demikian,” katanya lagi.

Tiada ulasan: