Ahad, 3 November 2013

Bagaimana MyKad dengan mudah diklonkan? – AMK

Oleh: Rusnizam Mahat


 KUALA LUMPUR: Angkatan Muda KEADILAN (AMK) menggesa siasatan terhadap dalang yang mengeluarkan kad pengenalan palsu yang diperolehi dua pengawal keselamatan yang terlibat dalam kes rompakan dan bunuh baru-baru ini.

Naib Ketuanya, Azmizam Zaman Huri mempersoalkan bagaimana My Kad yang dikatakan mempunyai ciri-ciri keselamatan dengan mudah ditiru dan digunakan oleh penjenayah.

“Bagaimana IC palsu ini boleh dikeluarkan. JPN kata My Kad tidak boleh diklonkan. Ia boleh diperiksa serta merta dan ada ciri keselamatan yang tidak boleh ditiru. Tapi kita lihat IC palsu ini sama seperti kad pengenalan yang sah.

“Adakah ini menunjukkan MyKad tidak bagus dari segi kualiti.  Sekarang jadi masalah, bagaimana nak kenalpasti sama ada IC itu palsu, sebab ia (kelihatan) sama,” ujarnya ketika dihubungi.

Menurutnya, pihak berkuasa perlu menyiasat dalang tersebut dan sama ada terdapat pegawai Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) yang turut terlibat.

“Siapa dalang dalam JPN yang mengambil kesempatan hingga negara terancam? Adakah sindiket yang mengeluarkan IC palsu ini menggunakan peralatan JPN. Hanya JPN yang tahu,” ujarnya yang juga Ketua AMK Selangor.

Pada 24 Oktober lalu, negara dikejutkan apabila seorang pengawal keselamatan menembak mati pegawai bank, Norazita Abu Talib, 37, selepas mangsa membuka bilik kebal Ambank di Subang Jaya.

Pengawal yang dipercayai berasal dari negara jiran itu dilapor melarikan kira-kira RM450,000 wang tunai dari bank berkenaan. Polis kemudian melancarkan gerakan memburu namun hingga kini, suspek masih belum diberkas.

Bagaimanapun, seminggu selepas kejadian tersebut, satu lagi kes rompakan berlaku di sebuah kedai emas, di Setapak Kuala Lumpur kira-kira jam 9 pagi semalam.

Rompakan tersebut dilakukan pengawal peribadi pemilik kedai emas tersebut, yang dipercayai turut menggunakan IC palsu.

Menurut Azmizam, Pakatan Rakyat sebelum ini menimbulkan isu Projek IC di Sabah yang mengancam keselamatan dan kedaulatan negara, namun dinafikan pemimpin Umno dan Barisan Nasional.

“Sekarang terbukti dengan dua kes ini pengawal keselamatan ini dengan mudah mendapat IC palsu, malah mendapat lesen senjata. Bayangkan bagaimana dengan keselamatan negara,” soalnya.

Beliau dalam pada itu mencabar pihak berkuasa memeriksa semua kad pengenalan rakyat Malaysia bagi mengetahui berapa banyak IC palsu di negara ini.

“Demi keselamatan negara, AMK menggesa kerajaan check semua IC rakyat Malaysia dan keluarkan satu slip yang sah. Saya cabar kalau kerajaan berani, buat sekarang untuk tahu berapa banyak IC palsu di negara ini,” tegasnya.

Tiada ulasan: