Khamis, 21 November 2013

42 projek rumah terbengkalai siap

 
Kerajaan negeri turut memperkenalkan beberapa dasar baru bagi memastikan pelaksanaan projek terbengkalai tidak berulang lagi




SHAH ALAM: 42 buah projek dari keseluruhan 140 projek perumahan terbengkalai di negeri Selangor telah berjaya diselesaikan oleh kerajaan negeri bermula dari Mac 2008 hingga akhir Oktober 2013.

Menurut Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan Dan Peneroka Bandar Iskandar Abdul Samad, dari keseluruhan 42 projek, separuh daripadanya adalah projek yang tidak berlesen.

“Walaupun bidang kuasa kerajaan negeri terhad dalam memulihkan projek terbengkalai yang mana kuasa ini terletak di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) melalui Akta Pemajuan Perumahan (Kawalan dan Pelesenan) 1966, dari Mac 2008 sehingga 31 Oktober 2013 Kerajaan Negeri telah berjaya menyelesaikan sebanyak 42 projek terbengkalai yang melibatkan 19,958 unit,” katanya apabila menjawab soalan lisan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Anggerik-PKR Yaakob Sapari.

Tambahnya lagi, kerajaan negeri turut memperkenalkan beberapa dasar baru bagi memastikan pelaksanaan projek terbengkalai tidak berulang lagi

“Kerajaan Negeri melalui kerjasama dengan KPKT telah meningkatkan penguatkuasaan di bawah Akta Pemaju Perumahan (Kawalan dan Pelesenan) 1966 (Akta 118) melalui pemantauan 6 bulan sekali di mana pemaju di wajib menghantar Borang 7F untuk memaklumkan status terkini kedudukan projek yang sedang dibina,” kata beliau.

Beliau menambah, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) juga perlu memantau secara dekat Jadual Kedua Undang-Undang Kecil Bangunan Seragam 1984 yang menghendaki pemaju untuk mengemukakan borang-borang A, B, C, D dan E kepada PBT.

“Salinan borang-borang tersebut perlu dikemukakan kepada Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) bagi tujuan pemantauan. Dengan mengemukakan salinan-salinan borang tersebut, LPHS akan dapat mengenal pasti sekiranya berlaku masalah terhadap sesebuah projek dan tindakan awal akan dapat dijalankan,” katanya lagi.

Tambah ADUN Cempaka itu lagi, pemaju turut dikehendaki berdaftar dengan LPHS sekiranya ingin menjalankan pembangunan perumahan dalam tempoh 30 hari dari tarikh kebenaran merancang diluluskan oleh PBT.

“Selain dari itu mereka turut dikehendaki mengemukakan laporan status projek berserta jadual kerja bagi setiap projek pembangunan di Selangor bagi tujuan pemantauan dan setiap projek dijalankan mengikut jadual.

Dengan sistem pendaftaran pemaju ini, LPHS juga akan bertindak sebagai ‘one stop centre’ di mana semua maklumat dikumpulkan dan diedarkan kepada PBT dan KPKT sebagai sistem amaran awalan sekiranya berlaku projek terbengkalai,” katanya sambil menambah lawatan ke tapak projek akan dijalankan dari masa ke semasa bersama pihak perunding projek dan PBT sekiranya projek tersebut menunjukkan ciri-ciri projek akan bermasalah.

Menurut beliau, konsep ‘Bina dan Jual’ sedang dilaksanakan dengan lebih meluas demi melindungi rakyat daripada dianiaya oleh pemaju.

“Melalui konsep ini masalah projek terbengkalai tidak akan berulang,” katanya

Tiada ulasan: