Selasa, 7 Mei 2013

Tsunami Cina atau Tsunami Malaysia?


A. Kadir Jasin

 

Pencapaian BN lebih buruk daipada 2008. Kerusi Dewan Rakyat jatuh daripada 140 kepada 133. Kerusi DUN jatuh daripada 306 kepada 274 walaupun tawan semula Kedah dan sahkan penguasan ke atas Perak. 


Buat kali pertama sejak PRU 1969, undi popular BN lebih kecil daripada pembangkang. Setuju dengan pembahas yang ini bukan “tsunami Cina” kerana di negeri majoriti Melayu pun prestasi BN merosot misalnya Terengganu.

“Please accept the results.” (Tolong terima keputusan). Demikian kata penyudah Perdana Menteri Najib Razak dalam sidang akhbar ketika menerima kemenangan Barisan Nasional dalam PRU13 di Ibu Pejabat Umno sebentar tadi.

Secara ringkas, pemerhatian awal saya ialah Barisan Nasional tidaklah boleh berbangga apatah lagi keras kepala dengan prestasinya kerana ia sebelum ini ia menguar-uarkan akan menang besar dan memperoleh semula kelebihan dua pertiga dalam Dewan Rakyat serta menawan semula negeri-negeri yang dikuasai Pakatan Rakyat.

Sebaliknya, pencapaiannya lebih buruk daripada 2008 kerana PR berjaya menembusi Johor dan memperoleh lebih banyak kerisi di Sarawak, dua negeri simpanan tetap BN serta berjaya mengusai lebih banyak kerusi DUN di seluruh negara.

Walaupun PR gagal dalam kempen “Ubah” dan “Ini Kalilah” untuk menguasai kerajaan pusat, namun ia memperluaskan kehadirannya di semua negeri.

BN berjaya memenangi semula Kedah, mempertahankan Perak, tetapi gagal menguasai semula Selangor dan Kelantan walaupun jentera propagandanya memberi gambaran Selangor dalam tangan dan Kelantan ada harapan. Cakap besar Selangor akhirnya memakan diri sendiri.

Pulau Pinang tidak perlulah disebutkan lagi. Gerakan dan MCA punah di negeri itu. Umpan yang Najib berikan kepada orang Cina tidak bermakna. Orang Cina menolak BN secara terang-terangan.

Najib terkejut dengan keputusan itu dan menjanjikan perubahan kepada partinya Umno. Tetapi prestasi BN yang lebih buruk daripada 2008 menjadikan kedudukan beliau goyah.

Juga, apakah keputusan PRU kali ini berupa “Chinese tsunami” seperti yang Najib ungkapkan atau ia adalah sesuatu yang lebih besar dan menyeluruh iaitu ramai pengundi tidak lagi menerima BN dan Kerajaan BN seperti yang wujud sekarang?

Adakah tidak mungkin bahawa ini bukan tsunami Cina atau cauvinisme kaum, tetapi tsunami Malaysia yang berpaksikan aspirasi dan realiti baru, khasnya di kalangan pengundi muda?

Walaupun BN berjaya merampas semula Kedah, tetapi kekuatannya dalam semua DUN merosot. Ia hampir-hampir kehilangan Terengganu dan menyerahkan banyak kerusi kepada PR di semua negeri.

Di pihaknya pula, PR hendaklah menerima keputusan pemilih dan sebarang ketidakpuasan dan pertikaian hendaklah diselesaikan mengikut peraturan dan undang-undang dan bukan dengan protes jalanan.
Wallahualam.— kadirjasin.blogspot.com

Tiada ulasan: