Selasa, 7 Mei 2013

Pas kedah tubuh jawatankuasa khas

 

KL TODAY

ALOR SETAR – Pas Kedah akan menubuhkan satu jawatankuasa khas bagi mengenal pasti punca kekalahan teruk parti itu, sehingga hilang kuasa kerajaan negeri kepada Barisan Nasional (BN) pada  Pilihan Raya umum Ke-13 (PRU13), semalam.
Timbalan Pesuruhjaya I Pas Kedah Datuk Ir Phahrolrazi Zawawi berkata Pas Kedah juga akan mengkaji semula struktur pimpinan parti itu termasuk jawatan Pesuruhjaya negeri yang kini dipegang Datuk Seri Azizan Abdul Razak.


“Bila berlaku kekalahan seperti ini, Pas Pusat akan melantik satu jawatankuasa untuk mengkaji semua struktur kepimpinan bagi melihat dari segi jangka masa panjang,” katanya kepada pemberita selepas majlis pelantikan Menteri Besar Kedah yang baharu di Istana Anak Bukit di sini hari ini.


Pada majlis itu, Datuk Mukhriz Tun Dr Mahathir mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Kedah.

Pada PRU13 semalam, Pas hanya menang sembilan daripada 36 kerusi Dewan Undangan Negeri berbanding 16 pada PRU 2008.

BN Kedah memperoleh 21 kerusi Dun untuk mendapat majoriti mudah bagi membentuk kerajaan negeri yang baharu.

Phahrolrazi berkata hasil bedah siasat itu akan diserahkan kepada Pas Pusat untuk membuat penilaian sebelum menentukan tindakan lanjut demi masa depan parti itu.


Beliau yang mengekalkan kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) Pengkalan Kundur berkata prestasi buruk parti pada PRU13 mungkin disebabkan beberapa faktor seperti melibatkan kepimpinan parti, percaturan calon tidak sesuai, jentera dan kelemahan dalam organisasi terutama di kawasan yang tewas.

Katanya semua organisasi dalam Pas akan mengadakan mesyuarat agung dan membuat pelantikan baharu dalam masa terdekat.

“Selepas mesyuarat agung tahunan Pas Pusat, jawatan Pesuruhjaya negeri akan dilantik semula. Jika perlu perubahan, kepimpinan Pas Pusat akan membuat keputusan,” katanya.

Tiada ulasan: