Rabu, 1 Mei 2013

Temerloh: Ini kali lah!




Oleh Badli Ahmad

Saya menulis artikel ini atas dua sebab. Sebab yang pertama adalah kerana saya seorang pemilih muda di P088 Temerloh di Temerloh Jaya. Sebab yang kedua adalah kerana keperluan untuk memberi respon kepada artikel yang ditulis oleh saudara Ahmad Tajudin Abdullah, yang pernah tersiar di TMI mengenai pilihan beliau menyokong Saifudin Abdullah dari Umno-BN berbanding Nasrudin Hasan dari PAS-Pakatan Rakyat. 

Mudah untuk mereka yang tidak berada di P088 Temerloh dan sekadar bergantung kepada maklumat media dan alam siber untuk beranggapan Nasrudin tidak membawa sebarang idea baru untuk warga Temerloh selain dari manifesto umum Pakatan Rakyat.  Di tambah pula dengan kerancakan kempen pilihanraya di kerusi-kerusi glamor seperti di Putrajaya yang mendapat liputan lebih luas, maka banyak maklumat kempen piliharaya khususnya di kawasan luar bandar seperti di Temerloh telah terlepas pandang dan dibandingkan secara kurang saksama.   

Secara khusus untuk Temerloh, Nasrudin telah mencadangkan untuk mengangkat Temerloh sebagai Bandar Ilmu sesuai dengan kedudukan strategik bandar Temerloh di dalam negeri Pahang. Beliau juga telah mencadangkan Agenda Ekonomi Berkebajikan khusus untuk warga Temerloh, yang antara lainnya menjamin bekalan benih ikan untuk penternak-penternak ikan, memperkasa jenama Temerloh sebagai bandar ikan patin dengan mempergiat promosi perlancongan berasaskan makanan tempatan dan mencadangkan majlis ekonomi tempatan yang akan menghimpunkan agensi dan tokoh tempatan untuk menjana idea membangunkan daerah Temerloh.

Seperkara lain yang kurang mendapat pendedahan ialah peranan Nasrudin sebagai Timbalan Pesuruhjaya III PAS Pahang selain dari menyandang jawatan Ketua Pemuda PAS Malaysia. Selaku pimpinan kanan parti dan Pakatan Rakyat negeri Pahang, beliau terlibat secara langsung di dalam merangka manifesto Pakatan Rakyat khusus untuk negeri Pahang yang telah dilancarkan pada 17 April yang lepas. Pastinya tuntutan dan keperluan warga Temerloh seperti jaminan bekalan air dan permohonan tanah telah beliau jelmakan dengan baik di di dalam manifesto PR Pahang tersebut. Secara peribadi saya tidak melihat strategi Nasrudin di dalam kempen beliau (khususnya dalam kempen siber) terbawa-bawa dengan imej Ketua Pemuda sebagai satu kelemahan, malah ianya satu keperluan. Perlu diingat, di atas bahu beliau turut terletak tanggungjawab untuk memenangkan 20 calon lain yang mewakili Dewan Pemuda PAS yang bertanding di seluruh negara. Beliau bukan seperti Khairy yang terus tenggelam di dalam kempennya sendiri dan kelihatannya alpa di dalam memimpin barisan pemuda Umno di dalam PRU kali ini.

Malah jika dilihat secara telus, kedudukan Nasrudin di dalam PAS dan Pakatan Rakyat merentas peringkat negeri dan nasional menjadikan beliau lebih terkehadapan dalam proses politik berbanding Saifudin yang tidak mempunyai peranan khusus di dalam BN Pahang dan dinilai pula sebagai “sore thumb” di peringkat Umno-BN nasional. Kedudukan Nasrudin membolehkan beliau berperanan dengan lebih berkesan membawa suara dan kepentingan warga Temerloh sekiranya terpilih kelak memandangkan beliau merupakan figura penting di dalam proses politik negeri dan pusat.

Bagi mereka yang berada dekat dengan nadi kempen di Temerloh ini, tidak ada sebarang perkara baru sebenarnya di dalam akujanji Saifudin. Kebanyakannya adalah tawaran yang dikitar semula, hasil dari janji-janji Umno-BN yang tidak dipenuhi sepanjang tempoh penggal 2008-2013. Di manakah janji bekalan air terurus di kala warga Temerloh masih bergelut dengan masalah kerap keputusan bekalan air semenjak 15 tahun yang lalu? Di manakah janji menubuhkan sebuah sekolah berasrama penuh untuk anak-anak Temerloh atas dasar mengangkat imej Temerloh sebagai daerah keilmuan? Atau janji bantuan modal untuk penternak ikan selaku daerah perikanan sungai? Saudara Ahmad Tajudin perlu turun meninjau lebih dekat keluh kesah warga marhaen Temerloh yang telah jenuh menunggu janji-janji untuk ditepati, tetapi sebenarnya diengkari sebelum memutuskan pilihan saudara.

Malah di peringkat nasional, bukan lagi menjadi satu rahsia pandangan Saifudin di dalam Umno-BN adalah pandangan peripheral. Pendirian liberal beliau telah menyisihkan beliau di kalangan pimpinan Umno tempatan dan nasional, menimbulkan cakap-cakap beliau bukanlah calon yang diterima oleh kepimpinan Umno keseluruhannya. Hakikat ini menjelaskan bahawa platform yang beliau dukungi iaitu Umno-BN menolak idea-idea beliau lantas boleh kita persoalkan sejauh mana beliau mampu membawa aspirasi anak muda dan rakyat secara berkesan di atas platform yang dengan nyata menolak pembaharuan dan pembersihan yang diinginkan rakyat? Antara bualan anak-anak muda Temerloh sekarang ini ialah dikala Saifudin menyokong agenda Bersih, Nasrudin bukan sekadar menyokong malah turun memimpin puluhan ribu anak muda menuntut pembaharuan proses pilihanraya sehingga ditahan polis yang giat mempertahan agenda khianat kerajaan yang menjadi dokongan Saifudin.

Dengan mengatakan sifir perubahan anak muda yang rata-ratanya menolak Umno-BN sebagai kurang terpakai di Temerloh merupakan pemerhatian yang langsung tidak tepat dan sebenarnya menidakkan aspirasi golongan muda yang terdiri dari 30 peratus dari jumlah pengundi untuk melakukan perubahan sehingga ke peringkat tertinggi. Turunlah ke Temerloh untuk melihat betapa dekatnya isu-isu Putrajaya di dalam mendepani arus perubahan di Temerloh. Isu tol (Lebuhraya Pantai Timur), isu PTPTN, isu royalti minyak Pahang — kesemuanya relevan kepada kelangsungan hidup penduduk di Temerloh. Apakah Saifudin selaku calon Umno-BN benar-benar boleh memperjuangkan isu-isu tersebut yang dengan jelas dinafikan oleh parti beliau sendiri? Apakah Saudara Ahmad Tajudin beranggapan pengundi Temerloh seramai 66 ribu orang dari berbilang kaum itu; Melayu, Cina, India dan orang Asal hidup sekadar bergantungan dengan arus air Sungai Pahang sehingga alpa dengan isu-isu nasional yang menjadi teras kepada platform perubahan yang dibawa oleh Pakatan Rakyat dan calonnnya Nasrudin Hasan? Saya yakin, berdasarkan pemerhatian kempen setakat ini, penafian sifir politik PRU ke13 oleh Saudara Ahmad Tajudin tersebut tidak menggambarkan suasana perubahan sebenar di Temerloh.  

Dikala Nasrudin dilihat sebagai emerging leader dari PAS, tidak dinafikan Saifudin juga seorang yang dinamik. Oleh itu pertandingan di Temerloh ini bukanlah pertandingan karektor dan lebih kepada perbandingan platform, idea dan tawaran. Memandangkan keperibadian Nasrudin selaku ilmuwan agama muda tidak dapat dipertikaikan, satu-satunya peluang Umno-BN untuk menggagalkan kempen Pakatan Rakyat adalah dengan melabel Nasrudin sebagai calon luar. Hakikatnya, Nasrudin adalah anak negeri Darul Makmur dan mempunyai talian persaudaraan yang luas dengan kumpulan keluarga Temerloh. Temerloh oleh itu bukanlah daerah yang asing untuk beliau malah telah lama lekat di hati sebagai salah satu kampung halaman keluarga besar beliau.  

Bagi mereka yang berada dekat dengan nadi kempen, ini bukanlah juga pertembungan di antara tokoh liberal dan konservatif seperti yang gemar diwar-war oleh pemerhati politik dari luar. Warga Temerloh tidak melihat jenama persona calon yang bertanding. Hanya kerana Nasrudin ini seorang “imam muda”, maka dia dilabel sebagai konservatif sedangkan pemilih di Temerloh, 62 per cent darinya adalah dari kelompok Islam-Melayu seharusnya boleh mendapat manfaat dari ketokohan beliau dalam bidang agama.

Saya tidak ingin mengatakan kempen dan strategi pilihanraya Nasrudin telah sempurna. Dibandingkan dengan jentera Umno-BN, pastinya banyak kekurangan khususnya kekangan kewangan, media dan sebagainya. Tapi di dalam diri dan nilai Nasrudin selaku calon Pakatan Rakyat ini terkandung harapan baru warga Temerloh yang menginginkan pembaharuan di daerah mereka, di negeri Pahang dan seterusnya di Malaysia. Saifudin sepanjang tempoh lima tahun yang lepas cuma berseorangan di atas platform Umno-BN yang tidak mengendahkan sebarang saranan beliau. Mengundi beliau cumalah akan memberi kelangsungan kepada Umno-BN untuk terus mengkhianati aspirasi rakyat. PRU ke 13 ini memberikan peluang kepada warga Temerloh untuk membuat pilihan kepimpinan yang lebih baik dari apa yang ada selama ini.

Ini kali lah! 

Tiada ulasan: