Kelab Wartawan Muda Malaysia (KWMM) mencadangkan supaya portal berita Malaysiakini.com diwajibkan mendaftar dan dikenakan syarat ketat ke atas operasinya kerana menurut presiden KWMM, Dzulkarnian Taib, bagi menggelakkan portal berita itu menjejaskan perpaduan di negara ini.

Dzulkarnian berkata pihak berkuasa perlu mengambil tindakan segera ke atas portal berita itu kerana mendakwa telah membuat pemberitaan yang dianggap berat sebelah dan menjejaskan suasana politik tanah air.
  
Beliau berkata bagi membendung gejala kewartawanan yang tidak bertanggungjawab dan tidak beretika oleh portal berita itu, Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKM) perlu mengambil tindakan termasuk mengharamkan dan menutup operasi portal berita tersebut.
  
Dzulkarnian, yang merupakan bekas ketua pengarang Suara Keadilan, berkata tindakan portal berita itu cuba menjejaskan perpaduan dapat dilihat dengan laporannya mengenai kenyataan bekas Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Mohd Noor Abdullah mengenai Perlembagaan Persekutuan pada wacana 'Post Mortem PRU13:Bicara Kepimpinan dan Survival Ummah' pada 12 Mei lepas dengan diserang 'dengan label rasis.'
  
"Bekas hakim itu, yang amat berpengalaman dan arif tentang isu berkaitan Perlembagaan Persekutuan, terpaksa berdepan dengan laporan polis oleh seorang pemimpin parti pembangkang dalam usaha bersepadu untuk menutup mulut mana-mana yang bercakap di atas landasan undang-undang dan kebenaran," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
  
Beliau berkata begitu juga dengan laporan yang dikeluarkan oleh portal berita itu mengenai kenyataan Penolong Ketua Pengarang Utusan Malaysia Datuk Zaini Hassan yang telah diambil di luar konteks asal pada forum Media Sosial: Mengurus Isu, Menangani Persepsi dan Emosi Rakyat pada Julai 2010 hingga menimbulkan persepsi negatif terhadap Zaini.
  
Di forum itu, Zaini telah menyentuh mengenai aspek memilih sudut terkini dalam membuat berita yang telah dilaporkan oleh portal berita itu sebagai 'mengajar pengamal media menghalalkan budaya memutar fakta dengan tujuan membentuk gambaran yang diingini kepada masyarakat, kata Dzulkarnain.
  
Beliau berkata dalam kedua-dua majlis itu, pihak penganjur telah mengesahkan portal berita itu tidak dijemput untuk membuat liputan berita tetapi bertindak melanggar tatasusila kewartawanan dengan menghantar wakil.  Bernama