SHAH ALAM - Persatuan Pengimport dan Peniaga Kenderaan Melayu Malaysia (Pekema) mendesak kerajaan segera mengumumkan mekanisme penurunan harga kereta dalam masa terdekat.
Presidennya, Datuk Zainuddin Abdul Rahman berkata, struktur cadangan masih lagi samar-samar termasuklah tarikh pelaksanaannya dan model kenderaan terlibat.
“Rakyat keliru dan masih tertanya-tanya sehingga wujud pelbagai spekulasi mengenainya,” katanya semalam.
Menurutnya, kelewatan pihak berwajib mengumumkan mekanisme menurunkan harga kereta telah memberi impak kepada pasaran automotif yang kini mengalami penyusutan disebabkan pembeli bersikap tunggu dan lihat apabila menjangkakan penurunan ketara harga kereta.
“Perkembangan ini dilihat kurang memberangsangkan sejak kebelakangan ini. Kerajaan harus segera mengumumkan prospek penurunan harga kereta sama ada menerusi duti eksais atau sebaliknya,” katanya.
Sebelum ini, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata kerajaan akan mengkaji dan menyemak Dasar Automotif Negara (DAN) melalui program tindakan berkaitan untuk menurunkan harga kereta.
Kadar pengurangan harga kereta akan dibuat secara berperingkat-peringkat sehingga 2017.
Katanya, bersandarkan manifesto kerajaan yang telah dibuat pada pilihan raya umum lalu, kerajaan telah berjanji akan mengurangkan harga kereta antara 20 hingga 30 peratus dalam tempoh lima tahun.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan